Giuseppe Conte

ROME – Perdana Menteri Itali Giuseppe Conte pada Selasa dijangka memaklumkan Kabinet berhubung hasrat untuk berundur, dan kemudian menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Presiden Sergio Mattarella, menurut kenyataan pejabatnya pada Isnin.

Conte bergelut krisis selepas kerajaan pimpinannya pada minggu lalu hilang majoriti, apabila bekas Perdana Menteri Matteo Renzi keluar daripada gabungan parti pemerintah, lapor Agensi Anadolu.

Beliau dapat bertahan dengan undi percaya di Senat minggu lalu, namun dengan majoriti tipis, yang semakin melemahkan kepemimpinannya dan perlu mencari sekutu baharu di parlimen.

Namun, percubaan untuk terus berkuasa gagal apabila beberapa ahli dan kumpulan kecil parlimen tidak menyokong Conte.

Krisis kerajaan yang berlaku secara tiba-tiba itu menjerumuskan Itali ke dalam kancah kekacauan politik lebih serius, apatah lagi ketika negara menghadapi gelombang pandemik kedua dan kemelesetan ekonomi terburuk sejak Perang Dunia II.

Kini Mattarella mempunyai beberapa pilihan. Meskipun mempunyai kuasa untuk membubarkan parlimen dan mengadakan pilihan raya baharu, ia agak mustahil, dan dianggap tidak sesuai diadakan di tengah pandemik.

Pilihan terbaik Mattarella ialah menggunakan desakan moral untuk membentuk kerajaan “peralihan” atau “perpaduan” yang disokong majoriti dan dapat memimpin Itali keluar daripada kemelut pandemik dan ekonomi.- BERNAMA