Tan Sri Abdul Hamid Bador

KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) Bukit Aman mengambil perhatian khusus mengenai keputusan yang hanya membenarkan pergerakan membawa pedati dari Kuil Sri Maha Mariammanm Jalan Tun H.S.Lee ibu negara ke Kuil Sri Subramaniaswamy, Batu Caves Selangor.

Penganut agama Hindu diminta agar mematuhi Prosedur Operasi Standar (SOP) untuk mengelakkkan sebarang kesulitan atau tindakan undang-undang.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, polis akan menjalankan pemantauan sepanjang perjalanan pedati itu dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang mengingkar arahan SOP ketat yang ditetapkan.

Katanya, pergerakan pedati tidak merangkumi perarakan bersama atau berdiri, memerhati oleh mana-mana individu atau kumpulan sepanjang jalan.

“Pergerakan pedati yang dibenarkan bermula 27 Januari ini jam 3 pagi hingga 6 pagi dan akan bergerak kembali ke kuil berkenaan dari Batu Caves pada Jumaat 29 Januari ini.

“Adalah ditegaskan bahawa pergerakan pedati berkenaan perlu mematuhi syarat dan SOP ketat Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang telah ditetapkan.

“Syarat ketat itu adalah pertama, hanya 10 petugas sahaja dibenarkan mengiringi pergerakan pedati iaitu lima Ahli Jawatankuasa kuil dan lima petugas, pergerakan pedati tidak boleh berhenti di mana-mana lokasi sepanjang perjalanan,” kata dalam kenyataan media hari ini.

Abdul Hamid berkata, syarat kedua adalah tiada sebarang peralatan gendang dan tiupan alat muzik dibenarkan.

“Ketiga adalah tiada sebarang perniagaan sepanjang jalan antara Kuil Sri Maha Mariamman, Jalan Tun H.S.Lee ke kuil Sri Subramaniaswamy, Batu Caves dibenarkan, kecuali yang telah mendapat kebenaran pihak berkuasa tempatan.

“Polis mengingatkan orang ramai agar memaguhi SOP di atas untuk mengelakkkan sebarang kesulitan atau tindakan undang-undang.

“Polis akan menjalankan pemantauan dan mengambil tindakan tegas ke atas mana-mana individu yang mengingkar arahan SOP ketat itu,” kata beliau.-MalaysiaGazette