Contoh setem akan datang yang dikeluarkan oleh Pos Malaysia.-Foto facebook Pos Malaysia.

KUALA LUMPUR – Pos Malaysia melancarkan koleksi setem edisi terhad sempena Peringatan ke-125 Tahun Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Johor.

Setem itu boleh didapati bermula esok di laman web e-dagang Pos Malaysia di www.pos.com.my/shop, 13 Pejabat Pos Umum dan pejabat pos terpilih di seluruh negara.

Ketua Kumpulan Pengurusan Saluran dan Pengalaman Pelanggan Pos Malaysia Berhad, Azmil Othman Merican berkata, pihaknya berbesar hati mengeluarkan siri cap Ulang Tahun ke-125 Perlembagaan Johor ini bagi memperingati pengenalan perlembagaan bertulis yang pertama di Semenanjung Tanah Melayu.

“Kami berharap dengan penerbitan setem ini kita dapat mengekalkan peristiwa bersejarah sekali gus berfungsi sebagai platform untuk mendidik generasi muda mengenai sejarah dan warisan negara kita.

“Koleksi setem ini memaparkan potret Sultan Abu Bakar dari Johor, meterai kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia dan sebahagian gambar undang-undang perlembagaan yang pada asalnya ditulis dalam Jawi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Di samping itu, koleksi yang sama dilengkapi dengan kepingan miniatur yang memberi penghormatan kepada warisan raja-raja Johor dengan menampilkan Duli Yang Maha Mulia, Sultan Sir Abu Bakar, Sultan Sir Ibrahim Al-Masyhur, Sultan Ismail, Sultan Iskandar, dan Sultan Ibrahim Ismail.

Azmil berkata, nilai untuk kedua-dua setem adalah RM1 serta lembaran setem yang mempunyai sebanyak 20 setem boleh didapati pada harga RM20.

Memandangkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Pos Malaysia menggalakkan semua pelanggan untuk membeli koleksi setem baharu melalui laman e-dagang Pos Malaysia di https://www.pos.com.my/shop/products/stamps. html.

“Sebagai peringatan, pengumpul setem dan orang ramai boleh mendaftar ke Akaun Deposit Pesanan Tetap (SODA) bagi memudahkan pembelian setem baharu serta menikmati faedah eksklusif yang ditawarkan oleh SODA,” katanya lagi.

Mereka yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada komuniti SODA boleh mendaftar di mana-mana pejabat pos di seluruh negara atau dalam talian di www.posonline.com.my.

Untuk pertanyaan lebih lanjut boleh hubungi di talian 03-2267 2267 ext. 2000 atau e-mel pertanyaan anda ke [email protected]. – MalaysiaGazette