Gambar hiasan

PUTRAJAYA – Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melaksanakan urusan pameran Rang Daftar Pemilih Tambahan (RDPT) bagi suku tahun keempat 2020 selama 14 hari.

Pameran itu dijadualkan akan berlangsung mulai esok hingga 9 Februari ini.

Setiausaha SPR, Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, pameran itu akan dijalankan diĀ  910 tempat terpilih di seluruh negara.

“RDPT suku keempat tahun 2020 mengandungi sebanyak 85,358 permohonan pendaftaran pemilih baru daripada warganegara yang layak dan sejumlah 31,162 permohonan pertukaran bahagian pilihan raya daripada pemilih berdaftar yang telah memohon dalam tempoh antara 1 Oktober hingga 31 Disember 2020.

“Semakan RDPT boleh dibuat melalui beberapa kaedah semakan antaranya hadir ke 910 tempat pameran yang dibuka di seluruh negara dan mengimbas Kod QR bagi Bahagian Pilihan Raya Parlimen yang diletakkan.

“Ataupun orang ramai boleh melayari portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri
atau hadir terus ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan dan menyemak buku RDPT ST4/2020 yang disediakan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau dalam kenyataan sama meminta para pemohon supaya menyemak nama mereka
dalam RDPT berkenaan sekiranya pemohon mendapati namanya tidak disenaraikan dan boleh membuat tuntutan melalui Borang B yang disediakan.

Katanya, bagi pemilih-pemilih berdaftar di satu-satu bahagian pilihan raya yang hendak membuat bantahan ke atas kemasukan nama mana-mana orang di dalam RDPT ST4/2020 dalam satu-satu bahagian pilihan raya, boleh berbuat demikian dengan mengisi
Borang C.

“Borang B dan Borang C berkenaan boleh dimuat turun dari portal Pejabat Pejabat Pilihan Raya Negeri dan hendaklah dikemukakan kepada Pendaftar Pemilih (Pengarah Pilihan Raya Negeri) bagi kawasan pendaftaran yang berkenaan pada waktu pejabat pada mana-mana hari bekerja sepanjang tempoh pameran RDPT itu diadakan.

“Semasa tempoh Pameran RDPT ST4/2020, SPR juga mempamerkan nama-nama pemilih yang akan dikeluarkan daripada daftar pemilih kerana telah meninggal dunia atau hilang
taraf kewarganegaraan atau apa-apa sebab berdasarkan kepada Peraturan 10 dan 25(2) Peraturan-Peraturan Pilihan Raya (Pendaftaran Pemilih) 2002.

“Sebarang pertanyaan mengenai pameran RDPT ST4/2020 boleh menghubungi talian hotline SPR di 03-8892 7018 atau mana-mana Pejabat Pilihan Raya Negeri.

“Pemohon juga boleh melayari portal SPR di https://pengundi.spr.gov.my/ atau aplikasi MySPR Semak untuk membuat semakan,” tegas beliau lagi.-MalaysiaGazette