Datuk Adnan Mat

KUALA LUMPUR – Kerajaan disarankan wujudkan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ketat selepas Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ditamatkan.

Langkah itu penting untuk mengelak para petugas kesihatan barisan hadapan yang sedang bertarung di medan ‘pertempuran’ melandaikan lekuK Covid-19 tidak terbeban dengan peningkatan kes yang tinggi selepas ini.

Presidennya, Adnan Mat berkata, pihaknya akur dengan tindakan Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah yang menyatakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di seluruh negara tidak akan dilanjutkan apabila ia berakhir pada 4 Februari ini dan disambung dengan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) bagi mengelak kesan negatif terhadap ekonomi negara.

“Bagaimanapun, kami mahu kerajaan memberi jaminan yang jelas bagaimana pelaksanaan PKPB ini dapat menurunkan kes kadar jangkitan harian kembali ke dua angka seperti yang dimaklumkan oleh KP Kesihatan.

“Seperti yang kita ketahui petugas kesihatan di KKM (Kementerian Kesihatan Malaysia) ketika ini berada dalam keadaan yang sangat tertekan kerana terpaksa betugas lebih daripada kebiasaan sejak Februari tahun lalu disebabkan penularan Covid-19,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurut Adnan, cuti mereka bukan saja dibekukan, malah jadual waktu kerja mereka menjadi lebih panjang dengan jadual kerja tidak menentu kerana perlu mengendalikan kes-kes Covid-19 dan pesakit.

Tambah beliau, CUEPACS bimbang pelaksanaan PKPB yang sama seperti sebelum ini tidak mampu menurunkan kes harian Covid-19 yang pada akhirnya memberi kesan kepada bebanan kerja petugas kesihatan.

Adnan menambah, ia berlaku kerana pematuhan SOP norma hidup baharu dalam kalangan masyarakat yang tidak memuas dengan amalan penjarakan fizikal, pemakaian pelitup muka dan SOP yang terkawal di tempat kerja tidak dilakukan dengan betul menyebabkan keadaan menjadi teruk.

Katanya, ia terbukti apabila kes jangkitan yang mencatatkan angka harian di bawah satu digit pada tahun lalu hanya mampu bertahan untuk tempoh yang singkat disebabkan kelonggaran yang diberikan oleh kerajaan.

“Ketika itu petugas kesihatan boleh menarik sedikit nafas lega kerana berjaya mengawal penularan virus daripada terus merebak, malangnya pelaksanaan PKPP dan PKPB yang tidak begitu ketat kawalan SOP nya menjadikan rakyat kembali alpa hingga menjadikan kes harian mencecah ribuan kes setiap hari.

“Lebih menyedihkan sektor ekonomi mula mengabaikan langkah keselamatan dengan tidak mematuhi SOP yang ditetapkan sehingga kilang-kilang serta sektor ekonomi yang mencatatkan kes Covid-19 terus beroperasi seperti biasa bahkan ada majikan yang terus memaksa pekerja mereka bekerja walaupun tidak sihat serta mengalami simptom.

“Malah kawalan 30 peratus pekerja di pejabat juga seolah-olah tidak dilaksanakan dan memaksa pekerja tetap bersesak di pejabat dalam situasi pandemik yang sedang tinggi,” ujarnya.

Menurut Adnan, setelah mengambil kira dan menyaksikan kesemua keperitan ini, CUEPACS mendesak kerajaan menyediakan SOP yang lebih jelas dan ketat menerusi PKPB di seluruh negara supaya selari dengan sasaran untuk menurunkan kes.

Berikutan itu, beliau mahu kerajaan merangka satu dasar yang jelas supaya setiap sektor ekonomi tidak mengambil kesempatan atas kelembutan kerajaan.

Sementara itu, CUEPACS mahu kerajaan menambah petugas kesihatan seperti yang diperuntukkan dalam Belanjawan 2021 agar fasiliti kesihatan negara mampu menangani krisis kesihatan.

“Jumlah 3,500 anggota kesihatan yang dilaporkan akan bertugas pada hujung bulan ini tidak mencukupi dan perlu ditambah sepenuhnya dalam tempoh suku pertama tahun ini dan ia sekurang-kurangnya boleh memastikan kita bersedia menghadapi perkara yang tidak dijangka selain mengurangkan tekanan dihadapi kakitangan sedia ada.

“CUEPACS berharap semua pihak khususnya rakyat dan juga sektor ekonomi serta pemain industri dapat memberi kerjasasma yang baik dalam mematuhi SOP yang ditetapkan oleh kerajaan,” kata beliau. – MalaysiaGazette