Ketika jari-jemari kita merasakan ingin memberikan komentar, fikirkanlah sejenak, adakah apa yang akan ditaip itu sesuatu yang baik atau sebaliknya?- Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Sebanyak 150,000 komputer riba akan diserahkan kepada para pelajar dari keluarga B40 pada bulan depan bagi memastikan mereka dapat meneruskan pembelajaran secara dalam talian.

Yayasan Hasanah menerajui inisiatif ini bersama-sama dengan Kementerian Pendidikan dan syarikat pelaburan milik kerajaan (GLIC) dan syarikat milik kerajaan (GLC).

”Ini adalah salah satu cara kita memanfaatkan ekosistem kerajaan bagi membantu golongan yang memerlukan,” kata Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz.

Menurutnya, ini juga bukan kali pertama Yayasan Hasanah berganding bahu dengan Kementerian Pendidikan bagi menyumbang kepada perkembangan sektor pendidikan terutamanya bagi pelajar-pelajar di luar bandar.

Ini kerana sejak dari tahun 2015 hingga 2019, Yayasan Hasanah telah membelanjakan sebanyak RM363 juta untuk tujuan ini.

Sebelum ini, Yayasan Hasanah memberitahu, pelajar-pelajar berkenaan akan menerima komputer riba, tablet dan data pada bulan depan menerusi Inisiatif Cerdik yang dikendalikannya.

Dana tersebut merupakan sumbangan daripada 13 GLIC dan GLC mewakili syarikat di bawah Khazanah Nasional Bhd (Khazanah), Permodalan Nasional Berhad (PNB), Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Petroliam Nasional Berhad.

Dalam Belanjawan 2021 Tengku Zafrul mengumumkan inisiatif tersebut kepada 150,000 murid di 500 sekolah sebagai projek rintis menerusi yayasan tersebut. – MalaysiaGazette