Marlia berkongsi berita sedih pemergian ayah mentua, Allahyarham Mohamed di Singapura melalui IG, pagi tadi. Foto IG Marlia Musa

KUALA LUMPUR – Bapa seniman terkenal, Datuk M Nasir iaitu Mohamed Sam meninggal dunia pada usia 96 tahun akibat sakit tua di kediamannya di Singapura, pada pukul 7.30 pagi tadi.

Isteri M Nasir, Datin Marlia Musa berkongsi berita sedih itu di Instagram (IG), kira-kira dua jam lalu.

“Ayahanda kesayangan kami, Haji Mohamed bin Sam telah pulang ke Rahmatullah pada pagi ini… Semoga Allah mencucuri rahmatNya,” katanya dalam entri berkenaan.

Marlia berkata, berikutan pandemik Covid-19, mereka sekeluarga tidak dapat pulang ke Singapura untuk memberi penghormatan terakhir kepada Allahyarham.

“Kami sudah berusaha membuat permohonan pulang ke Singapura, namun, pihak berkuasa tidak mengizinkan akibat Covid-19,” katanya sambil menambah suaminya reda dengan keadaan itu.

Marlia berkata, kali terakhir beliau dan M Nasir bertemu Allahyarham adalah kira-kira setahun lalu sebelum pandemik Covid-19 menular.

“Sejak itu, kami bertanya khabar melalui panggilan telefon dan video,” katanya.

M Nasir adalah anak keempat daripada sembilan adik-beradik. – MalaysiaGazette