PATI yang dicekup dalam Op Benteng pagi tadi.

KUALA LUMPUR – Seramai 17 pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Indonesia yang memasuki negara ini secara tidak sah dicekup dalam Op Benteng di kawasan sekitar Batu Layar, Teluk Punggai dan Tanjung Penyusup, Kota Tinggi, Johor.

Markas Divisyen Ketiga Infantri Malaysia dalam satu kenyataan memaklumkan, tangkapan dilakukan pukul 1.45 pagi hari ini selepas Sistem Pengawasan Maritim Laut Malaysia (SWASLA) yang berfungsi sebagai sistem rangkaian radar 24 jam telah mengesan pergerakan bot yang mencurigakan dari arah Pulau Batan ke perairan Malaysia pada pukul 10.50 malam.

“Bertindak atas maklumat, pasukan telah mengatur gerak Tim Quick Reaction Force (QRF) untuk membuat penjejakan dan mengepung kawasan sekitar Batu Layar, Teluk Punggai dan Tanjung Penyusup, Kota Tinggi, Johor.

“Pada jam 1.30 pagi, petugas Pos Pemerhati telah mengesan sebuah bot yang mendarat di Pantai Teluk Pungai.
“Hasil serbuan Tim QRF bersama anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) Cawangan Khas pada jam 1.45 pagi telah berjaya menahan 16 PATI. Pada jam 2 seorang lagi PATI ditahan hasil maklumat pengesanan daripada tim Dron Bahagian Staf Perisikan Pertahanan (BSPP),” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Tambahnya, keseluruhan 17 PATI yang ditahan terdiri daripada 13 lelaki dan 4 wanita warga Negara Indonesia berusia 24 hingga 48 tahun dipercayai masuk ke negara ini secara haram.

Katanya, nilai rampasan keseluruhan dianggarkan berjumlah RM 25,262.14 melibatkan wang tunai pelbagai jenis Matawang, jam tangan, barangan kemas serta telefon bimbit.

Kesemua PATI ditahan dan dibawa ke Markas Taktikal Tanjung Sepang untuk menjalani pemeriksaan dan saringan Covid-19 sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Imigresen Malaysia Setia Tropika, Kempas serta laporan Polis telah dibuat di Balai Polis Bayu Damai.

“Pasukan meneruskan atur gerak Tim QRF dan bagi menjejak kemungkinan saki baki PATI di sekitar kawasan tangkapan,” katanya lagi. – MalaysiaGazette