Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Pengekalan penarafan mata wang tempatan dan asing jangka panjang Malaysia pada A3 dengan unjuran stabil oleh Moody’s adalah pengesahan terhadap kekukuhan kawalan disiplin fiskal negara serta prospek pertumbuhan jangka sederhana yang mampandisokong dengan keberkesanan langkah membendung pandemik Covid-19.

Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, ia juga mencerminkan keyakinan Moody’s terhadap Malaysia dalam kitaran penilaian penarafan kredit yang mencabar di peringkat global, yang mana agensi-agensi penarafan kredit antarabangsa telah melaksanakan lebih 220 tindakan penarafan negatif sejak bermulanya pandemik tersebut.

Menurutnya, pandemik ini sememangnya merupakan satu titik penentu pada tahun 2020, yang telah memberikan cabaran getir kepada kerajaan di seluruh dunia dalam menangani krisis kesihatan awam dan kemelesetan ekonomi secara serentak.

Menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), ekonomi global menguncup 3.5% pada tahun 2020 dan dianggarkan bakal mengalami kerugian sebanyak AS$22 trilion bagi tempoh 2020-2025.

Sehingga kini, pakej rangsangan ekonomi global berjumlah sekitar AS$12 trilion telah dilaksanakan oleh pelbagai
kerajaan dan hutang awam global dijangka mencecah 100% daripada KDNK pada tahun 2020.

”Kerajaan Malaysia sendiri telah melaksanakan empat pakej rangsangan ekonomi yang komprehensif dengan nilai RM305 bilion atau sekitar 20% daripada KDNK.

”Keempat-empat pakej rangsangan ekonomi yang diperkenalkan oleh kerajaan sepanjang tahun 2020 dianggarkan dapat menyumbang sehingga empat mata peratusan kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara serta menetapkan ekonomi negara pada landasan pemulihan, dengan sasaran pertumbuhan ekonomi
pada kadar 6.5% hingga 7.5% pada tahun 2021.

”Unjuran ini adalah seiring dengan unjuran agensi antarabangsa seperti IMF dan Bank Dunia, masing-masing pada kadar 7.0% dan 6.7%. Moody’s turut mengiktiraf kredibiliti dan keberkesanan struktur rangka institusi negara, khususnya dalam pelaksanaan dasar-dasar makroekonomi,” katanya.

Ini terbukti dengan pelaksanaan teratur dan sistematik langkah-langkah dasar oleh 53 Kementerian dan Agensi sejak bulan Mac 2020.

Tengku Zafrul menambah, selain usaha menangani pandemik Covid-19 yang telah berjaya membolehkan Malaysia mencapai nisbah kes kematian kurang dari 0.4%, iaitu dalam lingkungan 5% terendah di dunia, pemulihan ekonomi juga akan didorong dengan pelaksanaan program vaksinasi dijangka bermula pada awal Mac dan akan dilaksanakan secara berfasa di antara 12 hingga 18 bulan, yang mana lebih daripada 80 peratus rakyat Malaysia atau hampir 27 juta individu dijangka akan diinokulasi pada suku pertama 2022.

Peningkatan permintaan luaran daripada rakan dagangan utama, dan kepelbagaian sektor ekonomi negara serta pelaksanaan berterusan projek infrastruktur dengan kesan pengganda tinggi akan memperkukuh pertumbuhan dan daya tahan ekonomi.

Tambah beliau, kerajaan kekal komited ke arah konsolidasi fiskal jangka sederhana serta memastikan kemampanan fiskal negara.

Sepanjang dekad yang lalu, kerajaan telah berjaya mengurangkan defisit fiskal daripada 6.7% kepada 3.4% daripada KDNK dan defisit fiskal tahun 2020 dijangka antara yang terendah berbanding negara berpenarafan kategori A- yang lain, hasil usaha
penyusunan semula peruntukan perbelanjaan yang berkesan.

”Ini merupakan suatu pencapaian yang baik dalam suasana yang amat mencabar ini. Kerajaan mensasarkan pengurangan defisit dari 6% daripada KDNK pada tahun 2020 kepada 5.4% daripada KDNK pada tahun 2021, seterusnya mengurangkan defisit fiskal kepada purata 4.5% daripada KDNK dalam jangka sederhana.

”Melangkah ke hadapan, kerajaan yakin dengan asas ekonomi yang kukuh, disiplin fiskal yang baik serta langkah dasar yang berkesan akan membantu negara dalam menangani cabaran suasana pandemik Covid-19 ini secara strategik dan proaktif, seterusnya mengurangkan kesan negatif berkekalan ke atas ekonomi akibat pandemik ini bagi meletakkan negara dalam landasan yang kukuh untuk pemulihan ekonomi. – MalaysiaGazette