Sesi latihan dry run bermula dengan Timbalan Menteri Kesihatan II, Datuk Aaron Ago Dagang sendiri membawa "vaksin" dari lapangan terbang sebelum ke Klinik Kesihatan Belaga. foto: KKM
KUALA LUMPUR – Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) hari ini menjalankan aktiviti dry run (latihan) penghantaran vaksin ini ke Klinik Kesihatan Belaga, Sarawak.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Adham Baba berkata, ia adalah sebagai latihan bagi memastikan persiapan rapi dibuat sebelum bekalan sebenar vaksin dari syarikat Pfizer diterima Malaysia.
Menurutnya, objektif utama aktiviti dry run ini diadakan adalah untuk menilai keupayaan pengekalan suhu -75°C (+/-15°C) vaksin COMIRNATY sepanjang rantaian penghantaran, iaitu dari pihak pengilang sehingga ke fasiliti yang dipilih.
“Selain itu, aktiviti ini akan menilai kebolehlaksanaan proses-proses yang terlibat dalam pengendalian vaksin Covid-19 dan menguji pelaksanaan Garis Panduan Pengendalian Vaksin Covid-19 yang telah dibangunkan di lapangan agar pengedaran sebenar ke seluruh Malaysia kelak akan berjalan lancar,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Pelaksanaan dry run ini adalah usahasama yang dijalankan di antara Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM), Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (SDMC), Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan syarikat Pfizer (M) Sdn. Bhd.
Bagi menjamin akses kepada bekalan vaksin Covid-19, kerajaan Malaysia telah menandatangani perjanjian awal bersama COVAX Facility dan juga syarikat Pfizer.
Pada masa yang sama, rundingan bersama beberapa pembekal vaksin Covid-19 yang lain juga sedang dijalankan bagi mendapatkan bekalan vaksin meliputi 80 peratus rakyat Malaysia.
Pada 8 Januari lalu, Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD), telah memberikan kelulusan pendaftaran bersyarat untuk vaksin Covid-19 keluaran syarikat Pfizer, COMIRNATY dan Malaysia dijangka menerima bekalan vaksin tersebut untuk fasa pertama bekalan pada penghujung Februari ini.
Menurut Adham, KKM akan sentiasa mempertingkatkan tahap kesihatan awam dalam memerangi wabak Covid-19 antaranya melalui perolehan bekalan vaksin yang berkualiti, selamat dan berkesan serta memastikan pelan imunisasi Covid-19 Kebangsaan berjalan dengan lancar.
Sementara itu, beliau memberitahu, Belaga dipilih sebagai lokasi latihan kerana KKM mahu menilai keupayaan pelaksananaan vaksinasi di kawasan pedalaman.
Klinik Kesihatan Belaga berada 78 kilometer (km) atau kira-kira empat jam perjalanan dari bandar terdekat iaitu Bintulu (dan kira-kira 778 km dari bandar Kuching) melalui jalan darat. – MalaysiaGazette