KUALA LUMPUR – Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) baru-baru ini telah melancarkan Program Pembiayaan Alternatif untuk 2021.

Program ini akan menyaksikan MDEC bekerjasama dengan 11 pengendali pendanaan awam bagi membantu usahawan mengatasi cabaran ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif MDEC Surina Shukri berkata, ini merupakan tahun kedua MDEC menjalankan Program Pembiayaan Alternatif yang diterajui oleh Bahagian Pecutan Pertumbuhan Global (GGA) berikutan kejayaannya semasa dilancarkan pada 2020 dengan 16 syarikat mengambil bahagian dan berjaya mengumpulkan sehingga RM19.89 juta.

“Menyedari pemula niaga mempunyai keperluan mendesak daripada segi pembiayaan perniagaan pada permulaan pandemik COVID-19, MDEC segera bertindak dengan beberapa program pemudahcaraan pembiayaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dilancarkan pada April 2020, Program Pembiayaan Alternatif ini menyaksikan MDEC bekerjasama dengan tujuh pengendali pendanaan awam yang menawarkan saluran alternatif untuk pemula niaga bagi mendapatkan pembiayaan memandangkan saluran tradisional agak sukar.

Modal teroka (VC) pula agak kurang menerima pelaburan baharu berikutan ketidaktentuan yang disebabkan oleh pandemik itu.

Antara pemula niaga yang berjaya menerima pembiayaan menerusi program ini adalah PolicyStreet yang mengumpul sehingga US$1.8 juta (RM7.8 juta), dana terbesar yang dikumpulkan setakat ini daripada platform pendanaan awam ekuiti (ECF) di Malaysia.

“Dengan gangguan berterusan terhadap perniagaan yang disebabkan oleh COVID-19 pada 2020, adalah penting untuk pemula niaga di Malaysia membuat penerokaan ke atas pelbagai saluran bagi mencari pembiayaan.

“Walaupun inisiatif seperti Dana Penjana Nasional telah banyak membantu untuk menangani jurang pembiayaan pemula niaga di Malaysia, MDEC mahu mereka mempunyai lebih banyak pilihan agar aliran tunai mereka terus mampan. Disokong oleh hasil yang kukuh daripada program tahun lepas, saya percaya ECF dan rakan ke rakan (P2P) adalah saluran pengumpulan dana yang terbaik untuk pemula niaga permulaan membuat pertimbangan.

“Walaupun kami berada di kedudukan ke-11 dalam ekosistem pemula niaga baru muncul di peringkat global oleh Startup Genome pada 2020, matlamat utama kami adalah untuk menjadi ekosistem pemula niaga yang terbaik di dunia.

“Inisiatif pemudahcaraan pembiayaan seperti Program Pembiayaan Alternatif kami hanyalah salah satu daripada banyak usaha yang kami buat dalam usaha memupuk ekosistem pemula niaga kami untuk berada di kedudukan teratas, yang akan membantu banyak syarikat ketika negara bergerak ke arah Malaysia 5.0 dan menjadi ‘Jantung Digital ASEAN’,” kata Surina.

Sebanyak lima ECF iaitu ATA Plus, CrowdPlus.asia, Eurecca, Leet Capital dan pitchIN serta enam platform P2P seperti B2B Finpal, CapBay, Funding Societies, microLEAP, MoneySave dan QuicKash, mengambil bahagian dalam Program Pembiayaan Alternatif tahun ini oleh MDEC.

Usahawan, yang ingin menerokai pilihan pembiayaan alternatif ini boleh memohon melalui https://mdec.my/gain/alternative-funding/. Pemacu ini bermula pada 27 Jan dan berakhir menjelang 31 Mac 2021.

MDEC akan menawarkan penilaian keutamaan kepada semua pemohon dengan melaksanakan proses saringan kelayakan sebelum menyerahkan profil kepada pengendali ECF/P2P. – MalaysiaGazette