Gambar Hiasan

JELI – Polis Kontinjen Kelantan menahan dua lelaki kerana menyalahgunakan permit rentas negeri, cuba menyeludup daun ketum dan merempuh dua sekatan jalan raya (SJR) di Sungai Lebey, Gerik dan Batu Melintang dekat sini, malam tadi.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Shafien Mamat berkata, polis juga merampas 415 kilogram daun ketum yang dianggarkan bernilai RM4,170.

Beliau berkata dalam kejadian 7.45 malam, dua lelaki terbabit yang menaiki sebuah pacuan empat roda jenis Mitsubishi Triton dari arah Gerik menuju ke Jeli dengan membawa muatan daun itu.

“Pada pukul 8.30 malam, kenderaan dinaiki kedua-dua suspek telah melalui SJR di Jeli sebelum diarahkan berhenti tetapi arahan tidak diendahkan dan suspek terus memecut dan melanggar SJR.

“Pasukan polis kemudiannya bertindak mengejar suspek sejauh 10 kilometer (km) dan pada pukul 9 malam  kenderaan suspek terbabas di hadapan sebuah stesen minyak. Kedua-dua suspek yang cuba melarikan diri bagaimanapun berjaya ditahan polis,” katanya pada sidang media di Ibu pejabat Polis Daerah Jeli, hari ini.

Beliau berkata, kedua-dua suspek dipercayai menyewa kenderaan itu daripada seorang individu di Kota Bharu dan menyalahgunakan permit rentas negeri atas urusan perniagaan barang alat ganti kenderaan.

“Kedua-dua suspek adalah penduduk tempatan dan ujian air kencing juga mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamin serta mempunyai rekod jenayah lampau,” katanya sambil menambah polis turut menemukan dua biji pil disyaki dadah serta sebilah kapak dalam kenderaan itu.

Menurut Shafie, kedua-dua suspek direman bermula hari ini hingga 1 Feb ini.

“Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 30 (3) Akta Racun 1952, Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967, Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1985 dan Seksyen 279 Kanun Keseksaan,” katanya. – Bernama