Ifran Tarmizi (kanan sekali) bersama barisan pengurusan Global Sadaqah.

KUALA LUMPUR – Syarikat permulaan kewangan teknologi (fintech) tempatan, Global Sadaqah menyasarkan jumlah dana awamnya akan melonjak dua kali ganda kepada RM3.6 juta pada tahun ini.

Pengurus Global Sadaqah untuk Negara Malaysia, Ifran Tarmizi berkata, penyumbang dana terbesar adalah dari kalangan korporat dan akan bekerjasama lebih erat dengan entiti itu dalam mencapai sasarannya.

Beliau memberitahu, jumlah dana awam syarikat pada tahun lalu adalah RM1.8 juta dan RM650,000 pada tahun 2019.

“Walaupun berdepan keadaan sukar pada tahun lalu akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), Alhamdulillah jumlah penderma dan dana yang diterima telah melebihi jumlah tahun sebelumnya.

“Malah tahun ini, kami akan menggalakan sedekah ‘from home’ kerana umat Islam tidak boleh berharap untuk bersedekah di masjid yang tidak dibuka.

“Malah pihak masjid turut memerlukan dana untuk operasi mereka. Jadi orang ramai boleh bersedekah di Global Saqadah yang turut boleh disalurkan kepada pihak masjid dan membantu institusi tersebut,” katanya pada sidang media secara maya di sini semalam.

Sidang media itu diadakan bagi mengumumkan kejayaan Global Sadaqah yang telah meraih dana sebanyak RM450,000 melalui penerbitan saham menerusi platform pembiayaan dana awam berekuiti patuh-Syariah sepenuhnya yang dikawal selia baharu iaitu Ethis Malaysia.

Dibuka selama 72 jam, kempen pembiayaan dana awam kilat itu berjaya melangkaui sasaran minimum RM200,000 dengan pantas apabila menarik para pelabur daripada lebih sepuluh buah negara termasuk pelabur ‘angel’ yang strategik.

Mengulas lanjut, Ifran menjelaskan, pelaburan kempen yang diterima akan digunakan untuk mengembangkan perkhidmatan yang ditawarkan di negara ini.

Jelas beliau sebagai syarikat baharu, pihaknya mahu meningkatkan pengaruh mereka di pasaran-pasaran utama dengan mengadaptasi teknologi-teknologi terkini.

Menurutnya, bidang fokus semasa adalah untuk bekerjasama dengan lebih banyak korporat-korporat dan yayasan-yayasan yang menyediakan dana untuk program yang lestari dan berimpak termasuk program Qard Hassan yang baru dilancarkan untuk perusahaan mikro di Malaysia.

“Global Sadaqah juga sedang mengembangkan kerjasama SocioBiz dengan mereka yang berjaya menerusi Kerjasama Alliance Islamic Bank.

“Adalah amat penting ketika masa begini untuk kami meningkatkan pengagihan dan impak berkesan terutamanya kelestarian zakat dan derma dari penderma-penderma besar dan badan-badan korporat.

“Kami juga berusaha untuk menyediakan pusat perkhidmatan setempat untuk syarikat perniagaan milikan Muslim untuk mengagihkan dana sosial mereka,” katanya.

Global Sadaqah adalah platform atau cara pendanaan awam amal Islam yang sesuai dengan sumbangan korporat dan Tanggungjawab Sosial Korporat selain sedekah, zakat dan wakaf dari orang ramai ke program dan kempen oleh rakan amal yang dipercayai.

Walaupun mempunyai tumpuan khusus untuk pelanggan korporat, platform pembiayaan dana awam Global Sadaqah terbuka kepada umum dan ia sedang meraih populariti dengan pantas apabila berkembang dua kali ganda setiap tahun selama dua tahun berturut-turut, dengan Malaysia dan Singapura kini menjadi 2 negara penderma tertinggi.

Platform ini memudahkan derma sumbangan dengan memberi akses kepada 11 saluran berbeza termasuk penyedia-penyedia dompet maya di Malaysia, Bitcoin dan emas digital.

Ia menampilkan pelbagai kempen daripada rakan amal yang telah disaring dan disahkan.

Kempen semasa yang terbuka termasuklah bantuan segera untuk bencana alam di Malaysia dan Indonesia serta usaha sumbangan berkaitan dengan wabak Covid-19. – MalaysiaGazette