Tengku Zafrul Abdul Aziz

KUALA LUMPUR – Malaysia tidak akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyeluruh ke atas ekonomi walaupun jika berlaku senario terburuk, kata Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz

Sebaliknya, kerajaan akan terus memberi fokus kepada penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) yang lebih ketat sekiranya angka jangkitan kes Covid-19 di negara ini kekal tinggi.

“Berdasarkan model semasa, kami percaya jumlah kes akan turun.

”Dengan andaian senario terburuk (sudah menjadi kenyataan), tidak akan berlaku sekatan menyeluruh ke atas ekonomi, kita akan terus fokus pada SOP yang lebih ketat, ”katanya dalam wawancara bersama CNBC hari ini.

Tengku Zafrul menjawab pertanyaan tentang apakah kerajaan akan menutup sektor tertentu atau tidak atau sektor mana yang menjadi keutamaan untuk ditutup jika perintah kawalan pergerakan (PKP 2.0) dilanjutkan atau jika program vaksin Covid-19 tidak berjalan lancar seperti yang dirancangkan.

Katanya, sekiranya jumlah kes terus meningkat, masalah utama seperti kepatuhan dan penguatkuasaan SOP harus ditangani.

Malaysia mencatatkan 4,094 kes Covid-19 baharu semalam, menjadikan jumlah jangkitan negara setakat ini bertambah kepada 198,208 kes.

Sementara itu, Tengku Zafrul menolak tanggapan kenaikan ringgit berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini akan mempengaruhi prestasi eksport.

“Ya, ringgit mengukuh berbanding dolar AS dan mata wang lain, tetapi kerana perdagangan global diramalkan tumbuh sekitar 8% pada tahun 2021 berbanding 2020, Malaysia akan mendapat keuntungan daripada itu.

“Dan, saya yakin prestasi ringgit tidak akan memberi kesan buruk kepada eksport,” katanya.

Dalam pada itu, Tengku Zafrul turut melahirkan keyakinan program vaksinasi Covid-19  yang dijangka selesai pada suku pertama 2020 dapat membantu memacu pemulihan ekonomi Malaysia.

Malaysia dijangka menerima kumpulan pertama vaksin Pfizer pada akhir Februari ini.

Sebelum ini media melaporkan program vaksinasi dijadual bermula awal Mac depan, akan dilaksanakan secara berfasa bagi tempoh 12 hingga 18 bulan dengan hampir 27 juta orang penduduk dijangka menerima suntikan pada suku pertama tahun depan. – MalaysiaGazette