Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Jumlah keseluruhan industri (TIV) automotif Malaysia dijangka mencecah 580,000 daripada 570,000 unit bagi tahun ini iaitu peningkatan sebanyak 10 peratus tahun ke tahun (y-o-y), demikian menurut unjuran CGS-CIMB.

Ini didorong oleh unjuran pertambahan jumlah jualan kenderaan Proton (+20 peratus y-o-y) dan Perodua (+13 peratus y-o-y) yang dipacu oleh pelancaran model baharu seperti Proton X50 dan Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) Perodua, D55L.

Dalam nota penyelidikan pada Jumaat, CGS CIMB berkata, TIV bagi Disember 2020 menokok 19.5 peratus bulan ke bulan (m-o-m) kepada 68,836 unit berikutan peningkatan jualan segmen kenderaan penumpang dan komersial apabila pengguna membuat pembelian awal kerana menjangkakan insentif cukai jualan tamat pada 31 Disember lepas.

“Kami menjangkakan sektor automotif mencatatkan keputusan lebih baik bagi suku keempat 2020 (Q4 2020) pada Februari 2021 susulan angka jualan lebih kukuh bagi tempoh sama.

“Pada masa sama, kami berpendapat sektor itu kekal di landasan tempat bagi mencatat pemulihan pendapatan dalam 2021F (unjuran) dengan sasaran pertumbuhan keuntungan bersih 60 peratus y-o-y (berbanding -39 peratus pada 2020F).

“Walaupun pelaksanaan semula Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) akan menyebabkan penurunan TIV pada suku pertama 2021 akibat penyusutan kunjungan ke pusat pameran, kami menjangkakan TIV bagi suku kedua 2021 akan terus meningkat.

“Ini seiring dengan unjuran optimis kami namun berhati-hati terhadap peningkatan aktiviti ekonomi yang ketara apabila vaksin COVID-19 semakin banyak ditawarkan.

“Kami juga menjangkan sektor ini akan mendapat manfaat daripada pengukuhan ringgit berbanding dolar AS yang akan mengurangkan kos pengimportan unit-unit pemasangan tempatan (CKD) dan model import sepenuhnya (CBU),” katanya.

Sehubungan itu, CGS-CIMB mengekalkan saranan ‘neutral’ terhadap sektor automotif Malaysia.

Sementara itu, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) mengunjurkan TIV berkenaan akan meningkat pada 570,000 unit pada 2021 daripada 529,000 unit pada 2020 (+ 8,0 peratus y-o-y), dipacu oleh pemulihan aktiviti ekonomi, pelanjutan insentif cukai jualan hingga 30 Jun 2021 serta kadar faedah pinjaman sewa beli lebih rendah yang dapat merangsang jualan automotif. – MalaysiaGazette