Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) meneruskan Misi MAFI Prihatin ke Sabah bagi meringankan beban penduduk di negeri itu yang terjejas banjir khususnya membabitkan petani, penternak dan nelayan.

KUALA LUMPUR – Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) meneruskan Misi MAFI Prihatin ke Sabah bagi meringankan beban penduduk di negeri itu yang terjejas banjir khususnya membabitkan petani, penternak dan nelayan.

MAFI Prihatin di Sabah dimulakan di daerah Beluran yang disempurnakan oleh menterinya yang juga Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee pada majlis penyerahan bantuan di Pejabat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Beluran di sini hari ini.

Bantuan yang berupa keperluan makanan diserahkan kepada Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) Negeri Sabah melalui PPK Beluran dan diagihkan kepada 106 ahli PPK Beluran di Kampung Pinangkau, Sungai-Sungai dan Kelagan Jaya.

Penyampaian sumbangan bantuan banjir MAFI Prihatin merupakan tanggungjawab sosial MAFI yang mengumpulkan sumbangan keperluan asas makanan dari jabatan dan agensi di bawah MAFI antaranya Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA), LPP, Institut Penyelidikan Dan
Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pertubuhan Peladang Kebangsaan (NAFAS) dan Kawasan Pembangunan Pertanian Bersepadu (IADA) Kota Belud, Sabah.

Pada majlis hari ini, Ronald turut menyampaikan replika kunci kenderaan pengangkutan pacuan empat roda iaitu Toyota Single Cab sempena Program Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (PRE) di bawah Program Peningkatan Mobilisasi Dan Logistik Bahan Makanan bernilai RM100,000 kepada PPK Beluran untuk kegunaan di lapangan, katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Turut hadir, Pembantu Menteri Pembangunan Luar Bandar Negeri Sabah yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Labuk Samad Jambri.

Misi MAFI Prihatin dilancarkan pada 21 Januari lepas di Wisma Tani Putrajaya melibatkan penghantaran bantuan keperluan makanan, barangan peralatan elektrik dan kelengkapan asas ke empat kawasan parlimen di Pahang iaitu Lipis, Jerantut, Kuala Krau dan Maran.- MalaysiaGazette