KUALA LUMPUR – Baru-baru ini nama individu yang sering memberi motivasi menerusi media sosial, Andika Putera hangat diperkatakan selepas mengeluarkan kenyataan kontroversi mengenai isu curang.

Oleh kerana kenyataan  ‘curang dengan izin Allah’ mengundang kecaman warganet, ramai mendesak Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr. Zulkifli Mohamad Al-bakri menyiasat individu itu kerana didakwa menyebarkan informasi yang salah dan memberi gambaran buruk kepada Islam.

Hari ini, Andika menerusi Instagramnya membuat permohonan maaf secara terbuka dan mengaku khilaf mengeluarkan kenyataan.

Beliau memberi jaminan akan berhati-hati dalam mengutarakan pendapat dan pendirian di media sosial pada masa akan datang.

“Lepas ni, Dika akan lebih berhati-hati dengan apa sahaja content untuk upload di internet. Dika harap melalui ujian yang Dika hadapi ni, pasti ada hikmah untuk Dika.

“Dika akan baiki dan perbaiki diri dari segi segala aspek penyampaian, ilmu, dan segalanya,” tulisnya pada kapsyen.

Untuk rekod, Andika mengeluarkan kenyataan kontroversi itu sebelum ini mengaitkan insiden curang pelawak dan penyampai radio Shuk Sahar yang tular baru-baru ini.-MalaysiaGazette