Pelanggan dilihat beratur dengan penjarakan sosial sewaktu menunggu giliran membeli barang basah berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) susulan penularan wabak Covid-19 di Pasar Tani Selayang, Selangor. foto HAZROL ZAINAL, 17 MEI 2020.

SHAH ALAM – Pasar tani di Selangor akan dibuka semula secara berperingkat bagi memastikan pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) dapat diikuti oleh semua pihak dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Pengerusi Jawatankuasa Tetap Infrastruktur dan Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Ir Izham Hashim berkata, buat masa ini, sebanyak 22 daripada 48 pasar tani yang berdaftar di seluruh negeri itu akan dibuka kepada orang awam.

“Pembukaan semula pasar tani ini akan dimulakan dengan Pasar Tani Stadium Shah Alam, hari ini. Insya- Allah publisiti pembukaan ini akan kita lakukan lebih kerap bagi membantu peniaga kita khususnya dalam memasarkan produk pertanian serta barang mentah seperti daging dan lain-lain.

“Kita buka secara berperingkat berdasarkan keadaan semasa penularan COVID-19,” katanya selepas meninjau pelaksanaan SOP di Pasar Tani Stadium Shah Alam, hari ini.

Katanya, sejak dua minggu lepas, pasar tani di negeri ini tidak dibenarkan beroperasi bagi membolehkan pihaknya menyemak semula SOP pengoperasian pasar tani. – Bernama