Sebahagian para media menunggu perkembangan terkini bedah siasat Allahyarham Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7, yang meninggal dunia dipercayai akibat didera di Unit Forensit Hospital Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 31 JANUARI 2021.

AYER KEROH – Pihak polis tidak menolak dakwaan terdapat pelbagai kecederaan baharu dan lama pada badan mangsa kanak-kanak 7 tahun yang meninggal dipercayai didera ibu kandung dan bapa tirinya.

Mangsa, Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, dikatakan lemas dalam tong air setinggi 60.9 sentimeter.

Bagaimanapun hasil bedah siasat selama hampir 11 jam terhadap kanak-kanak itu menemukan kecederaan di beberapa bahagian badan mangsa termasuk kepala dan belakangnya.

Menurut Ketua Jabatan Siasatan Jenayah negeri, Asisten Komisioner Mohd. Sukri Kaman, pihaknya tidak boleh memberi ulasan sehingga semua laporan keluar.

“Kita dimaklumkan ada kecederaan sehingga tiga sentimeter tapi apapun kita perlu tunggu laporan makmal bagi mengesahkan punca sebenar kematian.

“Ada kesan luka lama dan yang terbaru kecederaan di kepala di bahagian kepalanya,” katanya di luar perkarangan Hospital Besar Melaka malam ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah IPK Melaka, ACP Mohd Sukri Kaman bercakap berkenaan perkembangan terkini bedah siasat Allahyarham Zubaidi Amir Qusyairi Abd Malek, 7, yang meninggal dunia dipercayai akibat didera di Unit Forensit Hospital Melaka. Foto SYAFIQ AMBAK, 31 JANUARI 2021.

Antara maklumat makmal itu merangkumi hasil dapatkan dari spesimen yang diambil termasuk dari bahagian paru-paru, jantung, hati dan bahagian abdomen lain, namun polis percaya kecederaan pada badannya berpunca daripada objek tumpul.

“Kita tunggu dulu laporan, kita siasat dari semua aspek,” ujarnya. – MalaysiaGazette