Noor Hariri Mohamed Noor

KOTA BHARU – Pemuda UMNO Kelantan mengemukakan empat cadangan kepada kerajaan untuk mempertimbangkan kelonggaran aktivitinya sepanjang tempoh Perintah Pergerakan Kawalan (PKP).

Ketuanya, Noor Hariri Mohamed Noor berkata, empat perkara yang dimohon sayap parti itu ialah kelonggaran solat di masjid dan surau, aktiviti premis gunting rambut, bengkel kereta dan cuci serta mengarahkan institusi kewangan mewajibkan lanjutan moratorium.

Beliau menjelaskan, bagi cadangan melonggarkan aktiviti solat di masjid dan surau adalah bagi menambah amalan spiritual rakyat dengan memasukkan doa khusus untuk menangani Covid-19 selepas solat lima waktu, yang tentunya akan mendoakan kesejahteraan negara.

“Begitu juga perniagaan kedai gunting rambut bagi menjana ekonomi mereka yang rata-rata pemilik adalah golongan B40, yang masih terpaksa membayar sewaan bulanan kedai.

“Pekerjanya pula majoriti golongan anak muda yang baru belajar memulakan kehidupan. Ini tentunya tidak boleh dimatikan semangat mereka untuk berdikari,” katanya dalam kenyataan kepada media, hari ini.

Beliau berkata, bagi perniagaan membaiki dan mencuci kereta yang tidak melibatkan sentuhan secara dekat dengan pelanggan, sekurang-kurangnya dibenarkan beroperasi.

Ini katanya, dapat melengkapkan pusingan ekonomi dalam kalangan pemain industri automotif ini.

“Seperkara lagi, kami berpendapat kerajaan juga boleh menggunakan kuasa mutlak yang ada dalam tempoh darurat untuk mengarahkan bank dan institusi kewangan mewajibkan lanjutan moratorium pinjaman tanpa mengenakan kenaikan faedah terhadap lanjutan ini dalam tempoh PKPK sehingga Ogos ini.

“Tentunya wang penangguhan pembayaran tersebut akan digunakan golongan peminjam B40 dan M40 untuk fokus kepada perkara yang mendesak seperti bahan makanan isi rumah dan kelengkapan belajar anak yang memerlukan komputer, tab atau telefon pintar.

“Daripada pihak bank sendiri, inisiatif berkebajikan ini tentunya akan memberi reputasi baik kepada pelanggan yang akan membina kesetiaan jenama ataupun brand loyalty,” katanya.

Noor Hariri berkata, Pemuda UMNO Kelantan berharap kerajaan mempertimbangkan permintaan itu dengan mengikut kesesuaian dan keadaan yang telah ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN). – MalaysiaGazette

IKUTI KAMI DI MEDIA SOSIAL

Facebook : Malaysia Gazette
X : @malaysiagazette
Instagram : @malaysiagazette
Youtube MG : MalaysiaGazette TV
Youtube MGFlash : MG Flash
TikTok : Malaysia Gazette
Threads : Malaysia Gazette
Whatsapp Channel : Malaysia Gazette
Telegram : Malaysia Gazette
Spotify : MG Podcast