Gambar hiasan.

PUTRAJAYA – Sebanyak 4,214 kes positif baru direkodkan pada hari ini selepas negara mencatatkan lebih 5,000 kes selama tiga hari berturut-turut sejak Jumaat lalu.

Jumlah kes sembuh dilaporkan sebanyak 4,280 kes, mengatasi kes positif baharu.

Berikutan itu jumlah kumulatif kes positif Covid-19 meningkat kepada 219,173 kes manakala jumlah keseluruhan kes sembuh ialah 170,329 kes.

Ketua Pengarah Kesihatannya, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, daripada jumlah kes harian baharu hari ini, sebanyak sembilan kes adalah import iaitu lapan daripadanya warga tempatan manakala seorang warga asing.,

Tambah beliau, jumlah kes tempatan adalah 4,205 kes manakala 2,645 daripadanya adalah warga tempatan atau 62.9 peratus manakala 1,560 bukan warganegara atau 37.1peratus.

“Selangor kekal sebagai negeri kes harian baharu tertinggi iaitu 1,362 kes atau 32.3 peratus dan daripada jumlah itu sebanyak 967 kes adalah adalah daripada kluster-kluster dan saringan kontak rapat yang aktif dijalankan di lapangan.

“Ini diikuti oleh Johor sebanyak 1,068 kes (25.3 peratus) dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur sebanyak 702 kes (16.7 peratus),” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebanyak 10 kes kamatian direkodkan hari ini menjadikan jumlah kumulatif meningkat kepada 770 kes.

Menurut Dr. Noor Hisham, sebanyak 48,074 kes dilaporkan masih aktif dan 316 kes memerlukan rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) yang mana 137 kes lagi memerlukan bantuan pernafasan.

Tambah beliau, sebanyak 115 kes (2.7 peratus) yang dilaporkan dikaitkan kluster-kluster di lokap, depot tahanan imigresen, dan penjara yang membabitkan Kluster Tembok Taiping (81 kes), Kluster Tembok Renggam (25 kes), Kluster Tembok Mempaga
(tujuh kes) dan Kluster Tembok Sungai Udang serta Kluster Tembok Kemus masing-masing merekodkan satu kes. -MalaysiaGazette