Gambar hiasan

Selain makan, minum dan tidur, apa lagi perbuatan yang sentiasa kita lakukan setiap hari?

Sudah tentunya ‘membuang’ juga menjadi aktiviti wajib seorang manusia yang normal bukan?

Tanpa kita sedari kemudahan untuk kita ‘membuang’ hampir setiap hari itu menjadi salah satu nikmat yang patut disyukuri.

Ini kerana Malaysia mempunyai sistem pembetungan yang sempurna dan sistematik.

Malah, Pensyarah Kanan Fakulti Perhutanan dan Alam Sekitar Universiti Putra Malaysia (UPM), Dr Mohd Yusoff Ishak turut berkata sistem loji rawatan dan rangkaian paip pembetungan sisa kumbahan di negara ini merupakan antara yang paling moden di rantau ini.

Loji Rawatan Kumbahan Pantai 2 Kuala Lumpur sebagai contoh merupakan loji kumbahan terbesar di rantau Asia Pasifik dengan kapasiti 1.423 juta penduduk setara.

Penggunaan teknologi terkini membolehkan sisa kumbahan dirawat dengan lebih baik dan menghasilkan efluen yang lebih mesra alam melalui penyingkiran bahan pencemar seperti nitrogen dan fosforus mengikut piawaian negara maju.

Keperluan terhadap satu pengurusan kumbahan yang sistematik menjadi semakin penting semenjak Malaysia mencapai kemerdekaan pada tahun 1957.

Hal ini sejajar dengan pertumbuhan penduduk dan peningkatan penawaran air bersih yang secara tidak langsung menuntut adanya satu pengurusan kumbahan yang efisien.

Namun apakah sebenarnya yang dimaksudkan dengan perkhidmatan sistem pembetungan di Malaysia?

Perkhidmatan pembetungan ialah proses untuk mengumpul, menghantar, merawat air sisa kumbahan dan menyelenggara sistem pembetungan dan tangki septik.

Di Malaysia, perkhidmatan pembetungan terbahagi kepada dua jenis iaitu sistem pembetungan bersambung terus ke loji rawatan kumbahan awam dan tangki septik individu.

Sistem pembetungan bersambung ke loji rawatan kumbahan awam merupakan perkhidmatan yang menyambungkan saluran paip pembetungan di rumah ke loji rawatan kumbahan awam.

Indah Water Konsortium (IWK) diberi tanggungjawab untuk menjalankan operasi dan penyelenggaraan loji rawatan kumbahan awam.

Walaupun sistem pengurusan kumbahan ini bukan satu perkara mudah, namun caj yang dikenakan setiap bulan amat rendah iaitu serendah RM2 sehingga RM8 sebulan sahaja.

Malah kos untuk mengosongkan tangki septik sekali dalam dua tahun pula cuma berharga antara RM144 dan RM230 sahaja.

Sungguhpun begitu, kesedaran orang ramai mengenai pengosongan tangki septik individu di premis masing-masing masih lagi rendah.

Ini dibuktikan menerusi laporan media pada Mei 2019 tidak sampai 10 peratus daripada 1.3 juta tangki septik individu di negara ini mendapatkan perkhidmatan IWK untuk mengosongkan tangki mereka.

Sumber IWK turut memaklumkan orang ramai masih kurang kesedaran mengenai isu berkenaan, namun apabila tangki melimpah secara tiba-tiba, barulah IWK akan dipanggil untuk melakukan pengosongan tangki septik.

Hakikatnya tangki septik perlu dikosongkan sekurang-kurangnya dua atau tiga tahun sekali dan jika gagal dilakukan secara berjadual, ia akan menyebabkan sisa kumbahan mengalir ke dalam sistem pengairan kita dan mengakibatkan kehidupan air di dalam sungai dan laut terjejas.

Ia akan membahayakan kesihatan orang ramai kerana kumbahan mentah mengandungi bacteria Campylobacter, Crytosporidium Parvum yang boleh menyebabkan penyakit berjangkit bawaan air seperti taun, demam kepialu dan hepatitis A.

Akibat masih tidak endah dengan pembersihan tangki septik, pada 31 Januari lalu, seorang penduduk di Taman Rasah Seremban mendakwa mengalami masalah kesihatan berikutan masalah pembetungan di kawasan tersebut yang tidak diselenggara.

Masyarakat perlu sedar bahawa sistem paip kumbahan sememangnya adalah perantara kepada pelbagai jenis organisme mikro dan mungkin mempunyai potensi sebagai perantara kepada virus.

Sistem paip sisa kumbahan yang usang dan tidak diselenggara dengan baik terutamanya di kediaman jenis strata boleh menyebabkan pelbagai jenis organisme mikro tersebar dalam persekitaran jika berlaku kebocoran.

Laporan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengenai penularan wabak  Sindrom Penafasan Akut Teruk (SARS) di dalam blok perumahan di Hong Kong pada tahun 2003 mengenal pasti kecacatan pada sistem paip sisa kumbahan sebagai punca kepada penyebaran virus di dalam bangunan tersebut.

Selain itu, risiko penularan organisme mikro termasuk virus akan meningkat apabila tahap kebersihan tidak diberikan perhatian sepatutnya manakala keadaan sanitasi tidak sempurna.

Sungguhpun begitu, masih ada segelintir pengguna liat membayar bil pembetungan mereka setiap tahun sehingga dilaporkan pada 2015 masih terdapat 15 peratus pengguna IWK di kawasan Wilayah Tengah iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Putrajaya dan Labuan masih lagi liat membayar bil.

Oleh kerana sikap acuh tidak acuh itu, Pengurus Kanan Komunikasi Korporat Indah Water Konsortium (IWK), Shahrul Nizam Sulaiman berkata, pengguna yang tidak menjelaskan bayaran secara jangka panjang akan disenarai hitam dalam CTOS dan menyebabkan penilaian negatif semasa mereka memohon pinjaman.

Mereka yang berhutang lebih daripada dua tahun akan menerima surat peguam yang meminta mereka menjelaskan bayaran dalam tempoh yang ditetapkan.

Berdasarkan surat yang dihantar IWK, mereka yang gagal menuruti arahan pembayaran dalam surat yang dikeluarkan IWK akan dikenakan tindakan undang-undang termasuk ditamatkan perkhidmatan pembetungan air, malahan bekalan air.

Kemungkinan masih ramai yang memandang enteng betapa pentingnya pengurusan sisa kumbahan ini sedangkan hakikatnya di beberapa negara lain sisa ini terpaksa diuruskan dengan baik ekoran ia akan menjadi sumber bekalan air terawat.

Segelintir masyarakat masih skeptikal tentang tahap keselamatan penggunaan efluen terawat itu, sedangkan sebenarnya persepsi negatif terhadap penggunaan semula air sisa terawat harus berubah.

Mengitar semula air kumbahan untuk dijadikan air minuman telah lama diamalkan di beberapa negara lain.

Singapura misalnya telah memulakan projek pulih guna air sisa kumbahan pada awal tahun 2000 dan kini mempunyai lima Loji Pulih Guna air sisa kumbahan yang menggunakan teknologi membran untuk menghasilkan air yang diguna pulih berkualiti tinggi.

Membanggakan apabila bekalan air terawat itu cukup untuk memenuhi 40 peratus permintaan air di negara berkenaan sekarang.

Di Amerika Syarikat pula, projek Pure Water bernilai AS$3 bilion (RM12.16 bilion) telah dijalankan di San Diego, California dengan sasaran untuk mengitar semula 30 juta gelen air kumbahan setiap hari dalam empat tahun dan tambahan 53 juta gelen menjelang 2035.

Proses kitar semula air sisa menjadi semakin penting bukan hanya untuk mengurangkan pencemaran yang dibuang ke sumber air, tetapi juga bagi mengurangkan kesan akibat gangguan bekalan air yang tidak berjadual dan kenaikan tarif air.

Pada masa ini, tarif air dan pembetungan di Malaysia adalah antara yang terendah di dunia.

Namun, kita tidak boleh mengharapkan bahawa tarif tidak akan dinaikkan selama-lamanya. Syarikat yang mempunyai kemudahan kitar semula air sisa di premis mereka tidak akan terkesan jika tarif air di naikkan di masa hadapan.

Manfaat penjimatan kos hasil daripada penggunaan semula air sisa lebih memberi impak yang besar kepada industri-industri kerana tarif air industri jauh lebih tinggi daripada tarif domestik.

Mohammad Firdaus Abdullah
Presiden,
Persatuan Wira Air

1 Komen

Comments are closed.