SEBERANG PERAI – Tiga lelaki termasuk seorang penuntut jurusan sains komputer diberkas susulan melanggar prosedur operasi standard (SOP) dengan berkumpul di kolam renang sebuah kondominium di Bukit Mertajam di sini.

Ketiga-tiga suspek berusia dalam lingkungan 20 hingga 41 tahun itu ditahan pada pukul 2.30 petang tadi selepas pengawal keselamatan kondominium berkenaan membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Tengah, Asisten Komisioner Shafee Abd. Samad berkata, hasil siasatan mendapati tiga kenalan itu berkumpul di kolam renang tersebut pada pukul 6.30 petang semalam sebelum pengawal keselamatan bertugas ketika kejadian menegur tindakan mereka.

“Pengawal keselamatan itu meminta mereka beredar namun, salah seorang daripadanya enggan berbuat demikian sebelum mengarahkan perkara itu dilaporkan kepada polis.

“Suspek turut memberi alamat rumah konon untuk mencarinya,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Menurut Shafee, bertindak atas laporan, pihak polis menahan tiga suspek berkenaan kerana melakukan kesalahan perbuatan cuai yang mungkin merebakkan jangkitan penyakit yang berbahaya kepada nyawa dan berkumpul di tempat awam semasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Selain itu, siasatan lanjut juga mendapati suspek berusia 41 tahun itu mempunyai satu rekod lampau berkaitan penipuan,” ujarnya.

Terdahulu, tular satu rakaman video mengenai kejadian itu di aplikasi WhatsApp hari ini dipercayai dirakam oleh pengawal keselamatan berkenaan.

Video berdurasi 45 saat itu memaparkan tiga lelaki sedang berkumpul di kolam renang sebelum didatangi pengawal keselamatan yang meminta mereka beredar susulan PKP masih dikuatkuasa. – MalaysiaGazette