KUALA LUMPUR – Yayasan Peneraju Pendidikan Bumiputera (Yayasan Peneraju) menggesa para penerima faedahnya untuk segera menguasai pengetahuan dan kemahiran yang sesuai seiring dengan teknologi pintar yang sedang mengambil alih setiap aspek kehidupan manusia.

Automasi, susulan pandemik Covid-19, mewujudkan senario ‘gangguan berganda’ kepada pencari kerja pada masa hadapan.

Timbul persoalan sama ada pekerjaan profesional masih relevan kerana syarikat akan mengurangkan tenaga kerja sepenuh masa apabila penggunaan sistem teknologi robotik atau mesin secara beransur-ansur akan mengambil alih tugas termasuk bidang pekerjaan profesional.

Menurut laporan World Economic Forum (“WEF”), menjelang tahun 2025, automasi dan pembahagian kerja baru antara manusia dan mesin akan mengganggu 85 juta pekerjaan di seluruh dunia dalam sektor perniagaan sederhana dan besar melibatkan 15 industri dan 26 negara.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Peneraju Mohd Muzzammil Ismai berkata, modal insan dalam kalangan belia perlu dilatih dan ditambah baik agar mereka menjadi lebih cekap dan berpengetahuan.

“Pada masa sekarang, kemahiran teknologi menjadi sebahagian daripada keperluan kerja dan ia berlaku di seluruh dunia. Bumiputera yang mempunyai kemahiran khusus dalam bidang teknologi mempunyai kelebihan untuk mendapat pekerjaan terutama dalam masa sukar kerana kebanyakan industri telah mempercepat penggunaan digitalisasi dalam operasi mereka.

“Para penerima manfaat kami harus bersiap sedia menerima hakikat di mana terdapat pekerjaan yang mungkin tidak lagi diperlukan pada masa hadapan. Penting untuk mereka terus bangkit dan mengasah semula kemahiran mereka bagi menangani perubahan tersebut,”katanya pada Forum Maya Peneraju Profesional Finance, Banking and Investment (FBI) 2021 anjuran bersama oleh Yayasan Peneraju dan Efficient Frontier Consulting (EFC).

Menurut WEF, lebih daripada 50 peratus majikan yang dikaji mengatakan mereka berharap dapat mempercepat penggunaan automasi untuk mengambil alih beberapa tugas di syarikat mereka, sementara 43 peratus merasakan mereka lebih cenderung untuk memberhentikan pekerja di seluruh dunia disebabkan kemajuan teknologi.

“Pandemik Covid-19 telah mempercepat penerapan teknologi baru ketika kebanyakan organisasi sedang berusaha untuk mengurangkan perbelanjaan dan menyesuaikan diri dengan cara kerja baru, sehingga memberikan ancaman berkali ganda kepada pekerja, sama ada disebabkan oleh keputusan untuk mempercepatkan penggunaan automasi atau pemberhentian operasi disebabkan kemelesetan akibat dari Covid- 19.

“Sepertimana sekarang, dengan peningkatan bilangan penganggur dari kalangan graduan dari tahun ke tahun yang didorong oleh keperluan majikan yang telah berubah dan penggunaan automasi yang telah mengambil alih tugas manusia, tiada yang dapat memastikan apa yang akan terjadi kepada generasi milenial dan graduan pada masa hadapan.

“Milenial perlu pantas mengikuti perkembangan terkini teknologi pintar dan menyesuaikan diri dengan perubahan yang berlaku dan terus meningkatkan kemahiran mereka kerana kebanyakkan syarikat kini cenderung untuk memilih tenaga kerja yang mampu bertahan dan menyesuaikan diri dalam apa jua senario ekonomi,” tambahnya.

Forum Maya Peneraju Profesional FBI dihadiri lebih daripada 400 peserta termasuk para penerima manfaat Yayasan Peneraju sedia ada dan baharu dari program Peneraju Profesional Chartered Financial Analyst (CFA), program Peneraju Profesional Financial Risk Managers (FRM), dan 4 program baharu iaitu Pengamal & Penasihat Syariah Bertauliah (Certified Shariah Advisor & Practitioner), Jurubank Bertauliah (Chartered Banker), Juruaudit Dalaman Bertauliah (Certified Internal Auditor), dan dan Pemasar Digital (Chartered Institute of Marketing Professional Digital Marketeer). Turut serta adalah para penerima faedah Peneraju Tunas yang berhasrat untuk mengikuti bidang profesional berkaitan pada masa akan datang.

Yayasan Peneraju, sebuah agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri, telah diberi mandat untuk meningkatkan kualiti, kuantiti dan kesesuaian bakat bumiputera dalam ekonomi berpendapatan tinggi melalui program pensijilan akademik, vokasional, profesional dan pakar.

Ia telah memupuk dan membangunkan lebih daripada 35,000 modal insan terutama golongan belia dalam pelbagai bidang melalui 261 program pembiayaannya, mengagihkan jumlah peruntukan sebanyak RM716 juta sejak ditubuhkan sembilan tahun lalu. Maklumat mengenai penawaran program pembiayaan Yayasan Peneraju boleh didapati di www.yayasanpeneraju.com.my. – MalaysiaGazette