Kelibat tentera Myanmar di Dewan Bandaraya Yangon. foto Agensi

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia yang berada di Myanmar dinasihatan terus bertenang, sentiasa berwaspada dan mematuhi  arahan pihak berkuasa tempatan.

Kementerian Luar menyarankan agar rakyat Malaysia menghubungi kedutaan Malaysia di Yangon untuk urusan berkaitan konsulat dan hal kecemasan.

“Berkaitan dengan situasi saat ini di Myanmar, semua warga Malaysia di Myanmar disarankan untuk tetap tenang, waspada dan terus mematuhi nasihat keselamatan pihak berwajib di kawasan setempat,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Untuk urusan konsular dan kecemasan, rakyat Malaysia boleh menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Yangon di talian berikut +959772220230 dan email : [email protected],” kata Wisma Putra menerusi kenyataan.

Tentera Myanmar telah menguasai negara ini selepas menahan pemimpin de-facto, Aung San Suu Kyi dan beberapa ahli politik lain pada awal pagi tadi.

Televisyen tentera menyatakan bahawa darurat telah diisytiharkan selama satu tahun dan kuasa dipindahkan.

Malaysia yang memandang serius situasi di Myanmar berpendirian proses peralihan sepatutnya berlangsung secara demokrasi.

Menurut kenyataan itu, Malaysia menyeru agar tentera Myanmar mengutamakan keamanan dan menegakkan kedaulatan undang-undang.

“Malaysia memandang serius akan perkembangan terkini di Myanmar hari ini. Malaysia menyeru tentera Myanmar dan semua pihak yang relevan untuk memberikan keutamaan menjaga keamanan di Myanmar, menegakkan kedaulatan undang-undang dan menyelesaikan segala ketidaktentuan pilihan raya melalui mekanisme undang-undang yang ditetapkan dengan cara yang baik.

“Sebagai negara jiran terdekat dan anggota ASEAN, Malaysia terus menyokong keamanan dan kestabilan, yang penting adalah kemajuan dan kemakmuran semua rantau, termasuk di Myanmar. Malaysia menegaskan sokongan kukuh terhadap peralihan Myanmar secara demokrasi, proses perdamaian dan pembangunan ekonomi yang inklusif,” ujarnya.

Dalam pada itu Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dilaporkan mengutuk tindakan tentera Myanmar melakukan rampasan kuasa serta menahan pemimpin negara tersebut.

Suu Kyi dan beberapa pemimpin kanan NLD ditahan tentera di Naypyidaw awal pagi tadi.

Penahanan itu dibuat seminggu selepas Panglima Angkatan Tentera Myanmar, Jeneral Min Aung Hlaing, mengumumkan tidak menolak kemungkinan rampasan kuasa akan berlaku bagi memansuhkan Perlembagaan negara itu.

Tentera Myanmar sejak beberapa minggu lalu menuduh berlaku penipuan dalam pilihan raya umum pada November lalu, yang menyaksikan NLD pimpinan Suu Kyi menang besar. -MalaysiaGazette

1 Komen

Comments are closed.