Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memeriksa kenderaan ketika hadir melawat ke sekatan jalan raya (SJR) Sentul dan Tol Gombak serta penyerahan sumbangan makanan di sekatan jalan raya (SJR) Sentul, Kuala Lumpur. Foto MOHD ADZLAN, 01 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPURĀ  – Sistem pertahanan negara dan laman web kerajaan berada dalam keadaan selamat, terlindung dan bebas daripada sebarang ancaman penggodam.

Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, tiada sebarang laporan mengenai ancaman penggodaman laman sesawang kementeriannya.

“Di bawah kementerian, tidak ada (penggodaman laman sesawang).

“Kita harap kementerian akan terus selamat daripada digodam,” katanya pada sidang media selepas meninjau sekatan jalan raya (SJR) di Tol Gombak arah utara tengahari tadi.

Turut hadir Paglima Tentera Darat, Tan Sri Zamrose Mohamad Zaid dan Pemangku Ketua Polis Selangor, Deputi Komisioner Datuk Arjunaidi Mohamed serta Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai ancaman serangan kumpulan penggodam terhadap beberapa laman web milik kerajaan.

Kumpulan penggodam, Anonymous Malaysia mendakwa kumpulan yang digelar Cyberpunk Team sudah menggodam beberapa laman web kerajaan mulai hari ini.

Menerusi akaun Facebook kumpulan berkenaan, ia mendakwa, laman web yang terlibat ialah laman milik kerajaan negeri Sabah, Perak, Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) dan Majlis Perbandaran Selayang.

Tindakan mengodam itu didakwa dilakukan mulai tengah malam tadi. – MalaysiaGazette