Univerisiti Kebangsaan Malaysia (UKM)

KUALA LUMPUR – Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) memulangkan sebanyak RM1.34 juta yuran pendaftaran yang dikurangkan kepada pelajar baharu Semester 1 bagi sesi Akademik 2020/2021.

Dengan pengurangan ini, pelajar hanya perlu membayar sebanyak RM850 berbanding dengan RM1,200 sebelum ini.

Oleh itu, setiap pelajar akan menerima pemulangan wang mereka berjumlah RM350.

Seramai 3,854 orang pelajar tahun 1 yang mendaftar di UKM pada Oktober 2020 tahun lepas terlibat dengan pemulangan ini.

Naib Canselor, Prof. Datuk Dr. Mohd Ekhwan Toriman berkata, pengurangan yuran pendaftaran pelajar baharu ini dibuat memandangkan pandemik Covid-19 yang melanda negara menyebabkan para pelajar tidak dapat mengikuti aktiviti minggu mesra mahasiswa baharu secara bersemuka.

”UKM amat prihatin dan memandang serius perkara ini terutamanya kekangan pelajar yang tidak dapat hadir ke kampus secara fizikal kerana pandemik Covid-19,” katanya yang berharap agar pengurangan yuran tersebut akan dapat meringankan beban yang dihadapi oleh pelajar yang terkesan pada ketika ini serta dapat melancarkan proses pengajaran dan pembelajaran.

Menurutnya, kebajikan para pelajar sentiasa menjadi keutamaan UKM dalam memastikan pelajar dapat terus mengikuti pengajaran dan pembelajaran dengan selesa dalam tempoh yang
sukar ini.

Pemulangan ini juga selaras dengan hasrat Kementerian Pengajian Tinggi yang meminta setiap Institusi Pengajiaan Tinggi Awam (IPTA) mengambil inisiatif bagi mengurangkan beban pelajar dan ibu bapa, ujarnya.

Memandangkan Semester 2 Sesi Akademik 2020/2021 akan bermula pada bulan Mac ini, UKM telah membuat ketetapan bahawa pengurangan yuran tidak dilakukan secara pemberian tunai, tetapi sebaliknya akan membuat penolakan terhadap yuran semester yang akan datang.

Namun begitu, pengecualian boleh diberikan kepada pelajar-pelajar yang memerlukan pemulangan tunai tertakluk kepada pelajar mengemaskini maklumat akaun bank.

Sekiranya terdapat pelajar yang ingin mendapatkan maklumat lanjut mengenai pengurangan yuran tersebut, mereka boleh berhubung dengan Bahagian Kewangan Pelajar melalui e-mel [email protected]. – MalaysiaGazette