KUALA LUMPUR – Tiga premis yang dijadikan sebagai pusat sindiket pengumpulan kad ATM di sekitar Kuala Lumpur diserbu pada 22 Januari lalu.

Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Beh Eng Lai berkata, hasil siasatan mendapati sindiket tersebut beroperasi sejak bermulanya Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) iaitu pada April 2020 lalu dengan cara mengiklankan tawaran di media sosial seperti Facebook untuk menyewa kad ATM mangsa.

Jelas beliau, hasil daripada kegiatan tersebut, kad ATM milik mangsa kemudiannya akan disalurkan kepada sindiket untuk digunakan dan mengaut keuntungan.

Sindiket pengumpulan kad ATM ini akan memperoleh komisyen sebanyak RM1,000 sehingga RM2,000 bagi setiap kad ATM yang diserahkan.

Manakala, mangsa akan menerima komisyen sebanyak RM300 hingga RM500.

“Sindiket ini menyalurkan kad ATM kepada sindiket Macau Scam, tipu menyamar rakan dan juga tipu belian atas talian,” katanya menerusi kenyataan.

Ketika serbuan, polis berjaya menahan tujuh orang lelaki Cina, dua wanita Cina dan seorang wanita Melayu warga tempatan berusia dalam lingkungan 27 hingga 52 tahun.

Turut dirampas, 17 buah telefon bimbit, satu unit laptop, 16 keping kad ATM, 60 keping kad sim dan empat buku nota mengandungi butiran pelanggan.

Menurut beliau, semua suspek telah ditahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana terlibat dalam sindiket penipuan.

Jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak kurang satu tahun dan tidak melebihi 10 tahun dan sebat serta denda.

Katanya, hasil tangkapan tersebut polis berjaya menyelesaikan 10 kes penipuan di Lembah Klang dan 16 kes di negeri-negeri lain.-MalaysiaGazette