Mastura Yazid (tengah).

KUALA LUMPUR – Ibu mertua kepada pelakon Mira Filzah iaitu Datin Mastura Yazid menerima Darjah Kebesaran Panglima Mahkota Wilayah (P.M.W) yang membawa gelaran Datuk sempena Sambutan Hari Wilayah Persekutuan 2021 semalam.

Mastura merupakan Timbalan Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Tugas-Tugas Khas) yang juga Ahli Parlimen Kuala Kangsar itu menerima Darjah Kebesaran daripada YDPA Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Almarhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’in Billah.

Berita gembira itu dimaklumkan oleh anak sulung Mastura yang juga suami kepada kepada Mira Filzah iaitu Wan Emir Astar pada akaun Instagram miliknya.

Menerusi perkongsian itu, Wan Emir mengucapkan tahniah kepada ibunya.

Dia turut mendoakan agar perjuangan dan usaha ibunya sebagai pemimpin dirahmati Allah.

Seramai lima menteri dan sembilan timbalan menteri menerima darjah kebesaran sempena sambutan Hari Wilayah Persekutuan tahun ini.

Mendahului senarai adalah Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang dianugerahkan Darjah Seri Utama Mahkota Wilayah (SUMW), yang membawa gelaran Datuk Seri Utama.

Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Shamsul Anuar Nasarah dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Takiyuddin Hassan menerima darjah kebesaran Seri Mahkota Wilayah (SMW), yang membawa gelaran Datuk Seri.

Menteri Pendidikan, Radzi Jidin dan Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin pula menerima Darjah Kebesaran Pangkat Ketiga Panglima Mahkota Wilayah (PMW) yang membawa gelaran Datuk. – MalaysiaGazette