PKP boleh dijadikan masa yang sesuai untuk bersama-sama keluarga dan mengeratkan silaturahim. Gambar hiasan

PERINTAH Kawalan Pergerakan (PKP 2.0) bukanlah sesuatu yang ‘asing’ kerana setiap individu telah melaluinya dalam siri PKP yang lepas. Umumnya, perintah ini dilaksanakan kembali demi menjaga penularan virus yang berada pada aras yang membimbangkan sejak gelombang ketiga membadai sejak September 2020. Bahkan hingga kini, Malaysia telah mencatat lebih dari 4 digit angka (5,000 kes) untuk rekod kes harian dan mencatat lebih dari 200 ribu kes jangkitan secara kumulatif.

Menurut Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob selaku Menteri Kanan Keselamatan, PKP 2.0 kali ini memfokuskan kepada aspek kesihatan rakyat namun dalam masa yang sama kerajaan
tidak akan mengabaikan kepentingan ekonomi tidak kira melalui syarikat berskala besar mahupun peniaga kecil. Ini bagi mengimbangi jurang kesihatan dan kehilangan pekerjaan dalam
kalangan rakyat yang memberi impak kepada kemerosotan isi rumah. Justeru, rakyat tidak akan mengalami kematian disebabkan tiada makanan ataupun kehilangan nyawa rentetan virus Covid-19.

Selain dari aspek ekonomi, pekerjaan dan kesihatan tubuh badan, sekiranya krisis berpanjangan dan perintah kuarantin kekal dalam jangkamasa lama, kebanyakan individu akan kembali bergelut dengan banyak ketidakpastian sepanjang tempoh mereka diasingkan. Hal ini akan menyebabkan tahap kesihatan mental seseorang itu akan bertambah buruk. Malahan, ia juga boleh menimbulkan rasa bosan, marah dan kesepian. Oleh itu, individu yang terlibat dengan PKP 2.0 dinasihatkan agar lebih peka terhadap aspek kesihatan mental mereka dan ahli keluarga.

PKP 2.0 seharusnya perlu ditangani dengan baik disebabkan setiap individu telah bersedia dengan daya tindak yang dipelajari pada siri PKP yang lepas. Oleh yang demikian, ia seharusnya
menjadi titik tolak kepada perancangan dan kendalian yang lebih baik dalam menghadapinya. Justeru, untuk mengurangkan tekanan yang dialami, setiap individu adalah disaran agar sentiasa menyuntik nilai optimis dalam diri. Optimis ini adalah proses kognitif yang berlaku di dalam minda yang memberi impak kepada emosi dan tingkah laku seseorang.

Secara takrifnya, minda optimis bermaksud selalu mempunyai harapan, penilaian dan fikiran yang baik dalam menghadapi sesuatu perkara. Pengkaji bidang optimis iaitu Charles pada tahun 2010, menyatakan optimis adalah satu angkubah dalam diri seseorang yang mencerminkan sejauh mana individu itu berfikir tentang hal, perkara dan persepsi yang baik tentang sesuatu yang bakal berlaku. Dalam perspektif Islam pula, Imam al-Ghazali mentakrifkan optimis adalah kelapangan hati dalam menantikan hal yang diharapkan pada masa yang akan datang.

Tahap optimis yang tinggi telah dikaitkan dengan kebahagiaan dan kesejahteraan kendiri yang lebih baik dalam menghadapi sebarang kesusahan atau kesukaran. Menjadi individu yang optimis di kala wabak Covid-19 yang semakin mengganas dan siri Perintah Kawalan Pergerakan atau PKP 2.0 ini merupakan satu perkara yang mencabar setiap individu. Namun, sekiranya seseorang itu mampu bersikap optimis, ia adalah satu kelebihan bagi individu tersebut dalam mencapai kesejahteraan kendiri.

Bagi individu yang sedang menjalani tempoh PKP 2.0 dengan tinggal berseorangan, mereka boleh menjadi optimis dengan menyusun kembali matlamat hidup yang ingin dicapai. Masa yang
ada harus digunakan untuk merangka pelan tindakan dalam menghadapi wabak ini. Misalnya menyertai kursus-kursus persijilan tertentu ataupun mempelajari kemahiran baru secara dalam talian. Bagi kelompok ibu bapa pula yang perlu melaksanakan tugas pemantauan terhadap aktiviti seharian anak-anak termasuklah pembelajaran, mereka perlu menjadikan rumah sebagai ruang untuk segala aktiviti yang bermanfaat dilakukan.

Meskipun keadaan ini merupakan cabaran terhadap ibu dan bapa bagi menyesuaikan kembali norma baharu dalam kehidupan
seharian, tetapi ia perlu dijayakan bermula dengan menyemai nilai optimis dalam diri dan insan sekitar. Sikap optimis perlu dibangkitkan dalam minda untuk menjadi ‘perisai’ diri dari
terjerumus dalam kancah emosi yang negatif. Di samping itu, saling memberi kata positif, berfikiran positif, menyebarkan aura positif dan menyokong antara satu sama lain di dalam rumah mahupun melalui platform media sosial boleh menjana sikap optimis.

Dalam tempoh fasa PKP 2.0 ini, individu hendaklah sentiasa memikirkan perkara yang baik dan positif sebagai langkah membentuk minda optimis. Ia boleh dilakukan dengan cara ‘menyuntik pemikiran’ berikut dalam minda:

1. COVID-19 adalah wabak yang boleh dipulihkan sekiranya patuh kepada arahan SOP dan tempoh PKP 2.0 dengan baik untuk menghindar diri serta masyarakat dari jangkitan wabak (berfikiran positif).

2. Tempoh PKP 2.0 adalah masa yang sesuai untuk aktiviti kekeluargaan dan fasa ‘bonding & engagement’ bersama ahli keluarga.

3. Berfikir tentang hikmah kepada diri, keluarga dan norma baharu yang baik untuk dijalani ekoran daripada wabak. Misalnya aspek kebersihan rumah, gotong royong, aktiviti riadah dan aktiviti seharian dilakukan secara bersama sebagai teras amalan utama dan cara hidup.

4. Sentiasa dahulukan proses berfikir yang baik dahulu dan positifkan semula pemikiran atau skrip negatif yang muncul dalam kotak fikiran.

5. Sentiasa memikirkan jalan yang baik untuk diterokai, pintu ruang serta peluang yang masih ada untuk dibuat semasa menjalani PKP 2.0

6. Sentiasa melazimi cara berfikir dan bertutur yang baik, bersangka baik, mencari nilai yang baik untuk diteladani bagi mendatangkan hal-hal yang baik dalam kehidupan.

Pemikiran yang yang baik juga mencetuskan emosi positif dan tingkah laku yang membawa kepada kebaikan dan kesejahteraan. Oleh itu, sepanjang wabak Covid-19 melanda, individu, pekerja, pelajar, mahupun institusi keluarga perlu melakukan adaptasi dan tranformasi cara berfikir yang lebih baik mengoptimumkan aktiviti yang bermanfaat dan penggunaan ruang masa yang ada untuk keakraban dalam perhubungan sepanjang PKP bersama ahli keluarga yang sekian lama terlerai disebabkan kesibukan urusan bekerja dan belajar sebelum ini.

Walaupun dalam menghadapi pelbagai tekanan psikologi ekoran kehilangan sumber pendapatan, pekerjaan, urusan kerja tergendala, namun ia bukan asbab untuk terus berpeluk tubuh dan membiarkan hari yang berlalu dengan tekanan kerana setiap manusia mampu membuat pilihan dan perubahan untuk menjana minda sihat bagi kesejahteraan diri dan orang lain.

Dr. Abdul Rashid Abdul Aziz,
Pensyarah Kanan, Program Kaunseling,
Fakulti Kepimpinan dan Pengurusan,
Universiti Sains Islam Malaysia (USIM)