SEPANG – Walaupun nasihat demi nasihat dikeluarkan kerajaanĀ supaya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) Covid-19 masih ramai yang berdegil dan mengambil enteng arahan itu.
Polis KLIA hari ini mendedahkan kesalahan tidak memakai pelitup muka adalah tertinggi yang dikesan dan dikenakan kompuan di daerah Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) sepanjang tempoh pelaksanaan PKP.
Ketua Polis Daerah KLIA Asisten Komisioner Imran Abd Rahman berkata, seramai 88 individu dikenakan kompaun di daerah berkenaan sejak PKP dikuatkuasakan bermula 18 Mac tahun lalu.

Daripada jumlah itu,katanya sebanyak 69 kompaun dikeluarkan atas kesalahan tidak memakai pelitup muka.
“Untuk kesalahan merentas daerah dan negeri pula, hanya lima kes direkodkan dan selebihnya adalah kesalahan tiada penjarakan sosial, menaiki kenderaan melebihi had yang yang disyaratkan.
“Ada juga kes kompaun akibat kesalahan tidak menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Saya seru masyarakat supaya patuh Prosedur Operasi Standard (SOP) untuk mengekang pandemik Covid-19 daripada terus meningkat,” katanya kepada MalaysiaGazette di sini.
Beliau berkata demikian selepas turun memeriksa tiga sekatan jalan raya termasuk Sekatan Jalan Raya (SJR) di Jalan SIC-Salak Tinggi di KLIA dengan kekuatan anggota dari IPD KLIA secara syif 24 jam.
Tambah beliau, walaupun polis penat berkhidmat 24 jam mengawal pergerakanĀ masyarakat bagi mengekang penularan Covid-19, masyarakat dinasihati supaya mempunyai berkesedaran sivik dan menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan dengan mematuhi SOP yang dikuatkuasakan demi kebaikan bersama.
Berikutan lanjutan PKP sehingga 18 Februari ini polis KLIA akan meneruskan operasi SJR dan pemantauan pematuhan SOP dalam kalangan masyarakat setempat.

Katanya, pasukannya menerima kerjasama baik daripada masyarakat di daerah berkenaan dalam pematuhan SOP setakat ini dengan 95 peratus pematuhan.
“Kami mahu masyarakat fahamĀ bahawa kita (polis) tidak suka-suka kompaun orang.
“Tapi sekiranya orang degil tidak mematuhi SOP yang ditetapkan, kita akan laksanakan (kompaun) juga untuk memastikan keselamatan masyarakat terus terjamin daripada jangkitan Covid-19,” ujarnya.

Ditanya sama ada sebarang kesalahan jenayah lain selain pelanggaran SOP dikesan di SJR PKP kali ini, Imran berkata, ia tidak wujud.
“Tidak… kesalahan seperti membawa dadah dikesan semasa PKP pertama tahun lalu, tapi sejak awal tahun ini, tiada sebarang kes seludup dadah guna penghantar makanan e-hailing dan sebagainya.
“Namun kita melaksanakan pemeriksaan secara teliti di setiap SJR di daerah ini bagi memastikan orang ramai tidak melanggar undang-undang yang ditetapkan,” tegas beliau.-MalaysiaGazette
















