Penuntut Universiti Bogazici melakukan demonstrasi jalanan di hadapan universiti berkenaan. foto Agensi

ISTANBUL – Polis Turki menahan 159 orang penunjuk perasaan di Istanbul yang membantah tindakan Presiden Tayyip Erdogan melantik rektor baharu di salah sebuah universiti terkemuka di negara ini.

Penuntut-penuntut di Universiti Bogazici di Istanbul memulakan tunjuk perasaan hampir sebulan lalu selepas mendakwa pelantikan Melih Bulu sebagai rektor adalah tidak demokratik.

Malah, guru-guru di Bogazici juga membantah pelantikan Bulu.

Penunjuk perasaan melaungkan slogan seperti “Polis, keluar” dan “Universiti adalah milik kita” ketika berlaku pertembungan dengan polis.

Dalam satu kenyataan, pejabat Gabenor Istanbul memaklumkan seramai 159 orang ditahan kerana meneruskan demonstrasi di depan Universiti Bogazici walaupun amaran telah dikeluarkan.

Susulan demonstrasi itu, satu siasatan telah dibuat.

Sebelumnya, lebih daripada 100 polis berkumpul di pintu masuk utama kampus berkenaan.

Mereka membenarkan pelajar universiti masuk, memeriksa kad pengenalan mereka, tetapi menghalau orang ramai termasuk beberapa Anggota Parlimen dari Parti Demokratik Rakyat (HDP) yang pro-Kurdish.

Tempat laluan di sebelah jalan menuju universiti dipagar dan pergaduhan kecil pecah ketika beberapa penunjuk perasaan mula melaung dan berjalan ke arah halangan polis.

Kemal Kilicdaroglu, pemimpin pembangkang dari Parti Rakyat Republikan (CHP) mengkritik penahanan tersebut menyeru Bulu untuk mengundurkan diri bagi mengakhiri “situasi jelek ini”.

Datuk Bandar Istanbul Mayor Ekrem Imamoglu, juga dari CHP, mengatakan beliau telah bercakap dengan pihak berkuasa untuk menjalin dialog dengan para penunjuk perasaan, sambil menambahkan akan bertemu dengan pelajar Bogazici pada hari Selasa untuk mendengar masalah mereka.

Bulu, yang telah memohon sebagai calon Parti AK Erdogan yang berkuasa dalam pemilihan parlimen 2015, adalah rektor pertama yang dipilih dari luar universiti sejak rampasan kuasa tentera di Turki pada tahun 1980. – MalaysiaGazette