KUALA LUMPUR – Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada bekas ratu skuasy negara, Datuk Nicol David kerana dinobatkan sebagai pemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia.

Tan Sri Muhyiddin Yassin menganggap kemenangan Nicol bukan sahaja membanggakan negara, dalam masa sama bukti sumbangan, keringat dan aksi beliau selama ini dalam arena skuasy.

Beliau berharap agar kejayaan bekas pemain skuasy nombor satu dunia itu, menjadi suntikan motivasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berjuang mengharumkan nama negara dalam apa juga bidang dan sukan yang diceburi.

“Tahniah Nicol. Anda kebanggaan negara. Kemenangan itu membuktikan sumbangan, keringat dan aksi beliau selama ini terus diperhatikan dunia walaupun bekas pemain nombor satu dunia selama 109 bulan berturut-turut itu telah menggantung raket.

“Saya berharap kejayaan Nicol dapat menyuntik motivasi kepada seluruh rakyat Malaysia untuk berjuang mengharumkan nama negara dalam apa jua bidang yang diceburi.

“Kepada generasi muda yang baru berjinak-jinak dengan sukan ini dan pemain pelapis yang sedang mengembangkan prestasi, jadikan kejayaan Nicol sebagai pembakar semangat untuk melangkah lebih jauh.

“Dengan iltizam yang betul dan usaha yang bersungguh-sungguh, tidak mustahil anda semua mampu menjadi seperti Datuk Nicol Ann David,” tulis beliau di Facebook hari ini.

Nicol dinobatpemenang Anugerah Atlet Terunggul Sepanjang Zaman Sukan Dunia apabila meraih undi majoriti dalam undian dalam talian yang ditutup pada jam 9 malam, pada Isnin.

Sebagai calon tunggal Asia, juara dunia lapan kali itu menggungguli undian sejak hari pertama undian dibuka pada 8 Januari lalu apabila menerima 318, 943 undi, kelebihan 200,000 undi daripada pencabar terdekat.-MalaysiaGazette

ARTIKEL BERKAITAN:

Nicol dinobat atlet terunggul sepanjang zaman