Pengerusi Yayasan Perlindungan Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia, Datuk Tun Isham Safee menyerahkan sumbangan kepada golongan asnaf di Danau Kota, Kuala Lumpur. Foto AFFAN FAUZI, 02 FEBRUARI 2021.

KUALA LUMPUR – Prihatin dengan nasib asnaf yang tersepit ekoran pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan semula oleh kerajaan, Yayasan Pelindungdan Kesedaran Pencegahan Jenayah Malaysia hari ini menyalurkan bantuan kepada golongan ini.

Menurut Pengerusinya, Datuk Tun Isham Safee, yayasan itu menyalurkan sejumlah RM10,000 kepada dua buah sekolah dengan niat untuk mengurangkan beban golongan asnaf yang memerlukan.

“Jumlah penerima seramai 60 orang asnaf, ia untuk mereka yang menduduki Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Sumbangan ini adalah untuk 250 murid Sekolah Sungai Kertas dan 170 penerima untuk Sekolah Menengah Setapak Indah.

“Kita terima undangan daripada sekolah ini,” katanya hari ini.

Sumbangan yang diberikan antaranya adalah wang tunai, 30 kampit beras pelitup muka dan hidung, hand sanitizer, produk makanan kering dan minuman kotak.

Ini adalah program keempat yang dijalankan oleh yayasan ini selepas Temerloh dan Maran yang terlibat dengan banjir.

Selain itu, sumbangan turut disalurkan kepada beberapa kanak-kanak yang kehilangan ibu mereka di Taman Permata.

Program ini turut disertai sebuah syarikat produk kecantikan, Narqes Skintelligent.

Menurut Pengarah Urusannya, Radziq Jalaludin ini adalah salah satu tanggungjawab sosial syarikatnya kepada masyarakat.

Jelas Radziq, pihaknya terpanggil untuk membantu golongan yang memerlukan kerana kesan kepada masyarakat ekoran pelaksanaan PKP.

“Syarikat kami sepanjang PKP terpaska ditutup dan kami menjalankan perniagaan pusat kecantikan, kami merasa tertekan juga bila perniagaan ditutup tapi kami rasa ramai lagi yang memerlukan di luar sana dan bernasib malang. Jadi kami rasa terpanggil untuk beri sumbangan.

“Jadi kami sumbang sedikit sumbangan bersama dengan Yayasan. Saya rasa ramai lagi yang lebih susah dan kami nak bantu mereka,” katanya. – MalaysiaGazette.