Tommy
Tommy Thomas bersalaman dengan Dr Mahathir Mohamad ketika beliau memegang jawatan Peguam Negara dalam kerajaan PH.

KUALA LUMPUR – Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, bekas Peguam Negara, Tommy Thomas tidak tahu apa-apa langsung berkenaan peletakan jawatan beliau sebagai perdana menteri.

Malah, kata Dr Mahathir catatan Tommy dalam memoirnya bertajuk My Story: Justice in the Wilderness bahawa Yang  di-Pertuan Agong mahu Datin Seri Dr Wan Azizah sebagai Perdana Menteri Interim adalah cerita karut.

Sebaliknya, menurut bekas perdana menteri itu, Seri Paduka Baginda yang menerima peletakan jawatannya dengan berat hati telah mencadangkan beliau sebagai Perdana Menteri Interim.

“Nama Wan Azizah tidak pernah disebut oleh Agong sebagai Perdana Menteri Sementara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjawab catatan Tommy dalam memoir tersebut iaitu Yang di-Pertuan Agong sebenarnya mahu melantik Wan Azizahebagai Perdana Menteri Interim, tetapi tidak dapat berbuat demikian kerana Dr. Mahathir mahukan beliau sendiri dilantik sebagai Perdana Menteri Interim tersebut.

Mengulas lanjut, Dr Mahathir menjelaskan secara panjang lebar berhubung kronologi peletakan jawatannya sebagai perdana menteri yang bercanggah dengan catatan Tommy berhubung perkara itu,

Beliau mengulangi bahawa tindakan nya meletakkan jawatan adalah kerana partinya sendiri iaitu Parti Pribumi Bersatu Malaysia telah menolak nasihatnya untuk tidak keluar dari Pakatan Harapan.

Ini kerana, katanya, pada mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan kesemua ahli telah bersetuju untuk menyerah kepada budi bicaranya mengenai tarikh sesuai untuk meletakkan jawatan.

“Jelas mereka tidak hendak saya letak jawatan dan beri laluan kepada Anwar. Anwar dan Wan Azizah hadir dalam mesyuarat itu,” katanya.

Dr Mahathir berkata, dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu iaitu pada hari Ahad rayuannya untuk diberi masa sebelum membuat keputusan keluar dari Pakatan Harapan ditolak.

Beliau kemudiannya menjelaskan lagi rentetan peristiwa yang berlaku selepas itu termasuk makan malam Sheraton yang akhirnya membawa kepada persetujuan Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membentuk pakatan bersama UMNO, Pas serta termasuk kumpulan Datuk Seri Azmin Ali.

“Nyata bahawa saya telah hilang keyakinan dari Bersatu dan oleh sebab itu saya harus letak jawatan sebagai Pengerusi parti.

“Jika saya letak jawatan sebagai Pengerusi, saya juga tidak lagi mewakili Parti dalam PH. Jadi saya perlu juga letak jawatan sebagai Perdana Menteri,” katanya.

Menurut Dr Mahathir, dalam pertemuan dengan Yang di-Pertuan Agong, baginda tidak mencadangkan nama lain dan pastinya tidak juga nama Wan Azizah yang merupakan Timbalan Perdana Menteri ketika itu.

Katanya, beliau juga tidak menawarkan diri namun adalah tidak kena jika beliau menolak cadangan baginda supaya menjadi Perdana Menteri Interim.

“Pada masa itu Kerajaan Pakatan Harapan telah jatuh rentetan pengumuman Muhyiddin mengeluarkan Bersatu dari PH di sebelah tengahari. Wan Azizah sebagai TPM tidak boleh ambil alih jawatan kerana PH bukan lagi Kerajaan.

“Juga tidak ada satu pun ahli PH boleh ambil alih daripada saya,” katanya.

Menurut Dr Mahathir semasa Tommy menjadi Peguam Negara, hubungan mereka baik malah ketika tempoh khidmatnya hampir tamat, beliau mencadangkan anugerah Tan Sri buat Tommy.

Katanya, Tommy juga akan bertemu beliau untuk isu-isu utama dan beliau percaya serta mempertahankan bekas peguam negara itu ketika dikecam orang Melayu.

Dr Mahathir juga berkata, beliau menerima banyak kecaman kerana Tommy dan pernah berfikir untuk tidak menyambung perkhidmatan bekas peguam negara itu setelah tamat.

“Tetapi apabila saya letak jawatan sebagai PM dia datang berjumpa saya untuk beritahu yang memandangkan saya yang lantik dia dan saya bukan lagi PM maka dia juga rasa perlu letak jawatan,” katanya yang menyifatkan tulisan Tommy mengenai peletakan jawatannya sebagai perdana menteri adalah cukup hebat.

Dr Mahathir juga hairan bagaimana seorang peguam tidak faham apa yang berlaku bukanlah soal pertukaran Perdana Menteri sebaliknya ia mengenai kerajaan PH yang telah tumbang dan  Agong tidak boleh melantik Wan Azizah sebagai Pemangku Perdana Menteri.

 

2 Komen

  1. Tun, read them title of the book again. “My memoir” from TT. This was his view. Why Tun so upset. Siapa makan cili, Dia rasa pedas.
    When you resigned as PM, you give your set of story and many don’t agreed with you. You will be remembered as PM of bapa pembagunan dan bapa pemusnahan.

Comments are closed.