Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR – Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim menyokong keputusan kerajaan untuk mengambil tindakan lebih tegas kepada mana-mana individu yang tidak mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP), khususnya mereka yang gagal memakai pelitup muka.

Bagaimanapun beliau berpendirian, tiada keperluan untuk menaikkan kadar denda.

Jelas beliau, menaikkan kadar denda hanya akan menimbulkan pertikaian dalam kalangan rakyat.

“Saya tidak bermasalah sekiranya kerajaan dan penguatkuasa mula mengambil tindakan tegas kepada sesiapa pun yang tidak memakai pelitup muka.

“Kita kena ingat juga bahawa masalah ini bukan sekadar nak naikkan denda, denda ini saya bimbang kerana yang kena orang bawah, petani, nelayan itu orang tengok dua darjat. Pertama mereka kata kami juga yang kena.

“Saya tidak fikir keutamaan kita menaikkan denda tetapi penguatkuasaan itu harus jelas,” katanya menerusi Facebook Live hari ini.

Tambah Anwar, adalah mustahak bagi pemimpin atasan termasuk para menteri untuk menunjukkan contoh mematuhi SOP pencegahan penularan Covid-19 kepada rakyat.

“Dan ini contoh-contoh dari menteri juga, kalau menteri ada makan-makan, majlis itu, ini, tidak pakai pelitup muka jadi orang bawah kata ini darjat atas boleh darjat bawah tidak boleh,” tambahnya.

Sejak Ogos tahun lalu, kerajaan menetapkan denda sebanyak RM1,000 bagi kesalahan tidak memakai pelitup muka. -MalaysiaGazette