Gambar hiasan.

KUALA LUMPUR – Bekalan disk Lesen Kenderaan Motor (LKM) adalah mencukupi bagi menampung urusniaga pelanggan di seluruh negara.

Ia termasuk bekalan di cawangan JPJ, Pos Malaysia, MyEG dan PUSPAKOM, kata Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) dalam satu kenyataan hari ini.

“Untuk makluman, pihak JPJ dengan kerjasama pembekal dokumen disk LKM telah menghantar bekalan sebanyak 1,145,000 keping disk LKM kepada cawangan JPJ, Pos Malaysia, MyEG dan PUSPAKOM pada 2 Januari 2021 dan tambahan 420,000 keping lagi baru-baru ini agar tiada masalah putus bekalan timbul,” katanya dalam kenyataan yang sama.

JPJ mengulas perkara itu ekoran berita akhbar online Malaysiakini versi Cina bertajuk “Kekurangan pelekat cukai jalan berlaku di seluruh negara, peniaga kereta kehilangan peluang perniagaan Tahun Baru” baru-baru ini.

Dalam pada itu, menurut kenyataan JPJ, pihaknya sangat peka dan memberi jaminan bahawa isu kekurangan bekalan disk LKM tidak akan berlaku supaya pengguna tidak lagi menghadapi kesulitan menjalankan urusniaga berkaitan LKM.

Bagaimanapun, para pelanggan dinasihati agar mengutamakan urusniaga secara online serta tidak terburu-buru mendapatkan dokumen fizikal di kaunter-kaunter bagi mengelak kebanjiran orang ramai di cawangan JPJ dan rakan niaga ketika pandemik Covid-19.

Ini adalah selaras dengan pengecualian memperbaharui Lesen Memandu Kompeten (CDL) dan Lesen Kenderaan Motor persendirian dari 1 Februari hingga 31 Mac 2021.- MalaysiaGazette