Ketua Eksekutif baharu Bank Simpanan Nasional (BSN), Jay Khairil Jeremy

Kuala Lumpur – Bank Simpanan Nasional (BSN) hari ini melantik Jay Khairil Jeremy, 45, sebagai Ketua Eksekutif bagi menggantikan Datuk Yunos Abd Ghani yang bersara pada 30 November lalu.

Pengerusinya, Rossana Annizah Rashidi berkata, Lembaga Pengarah bank itu yakin Jay Khairil dapat memimpin BSN ke fasa pembangunan seterusnya.

Jay Khairil mempunyai pengalaman perbankan lebih daripada 20 tahun yang mana jawatan terakhir beliau adalah sebagai Ketua Juruaudit Dalaman Alliance Bank Financial Group.

Sebelum itu, beliau berkhidmat sebagai Ketua Pegawai Kewangan BSN yang mana beliau telah membantu bank itu dalam mencapai prestasi kewangan yang kukuh melalui pengurusan aset dan liabiliti yang berhemah, langkah pengoptimuman kos dan penambahbaikan proses yang relevan.

Selain itu, Jay Khairil juga merupakan Ketua Audit Serantau untuk Commerce International Merchant Bankers (CIMB) Group serta Timbalan Pengarah Audit Dalaman di Bank Negara Malaysia.

Beliau juga merupakan seorang Chartered Banker, Chartered Global Management Accountant, ahli Institut Akauntan Malaysia, ahli Chartered Institute of Management Accountants dan Ahli Berkanun di Institut Juruaudit Dalaman. – MalaysiaGazette