Pakar Mikrobiologi Klinikal, Fakulti Perubatan Sains Kesihatan, USIM, Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed

KUALA LUMPUR – Rakyat Malaysia bakal menerima vaksin Covid-19 seawal hujung bulan ini, namun masih banyak pertanyaan tentang isu keselamatan dan keberkesanan pada vaksin yang akan diterima.

Maklumat palsu mengenai vaksin yang sering dikongsikan di media sosial telah menimbulkan kesangsian dan kekeliruan dalam kalangan orang awam.

Pakar Mikrobiologi Klinikal, Fakulti Perubatan Sains Kesihatan Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), Prof Madya Dr Nurul Azmawati Mohamed berkata, antara sebab yang menjadi penghalang penerimaan vaksin ialah proses penghasilan vaksin yang sangat pantas, status halal vaksin, kesan jangka panjang dan juga negara pengeluar vaksin.

“Ramai yang skeptikal dengan vaksin yang dikeluarkan oleh negara China dan mereka lebih percayakan vaksin keluaran negara Barat,” katanya dalam sesi webinar bertajuk “Takut Dengan Vaksin COVID-19” yang dianjurkan bersama oleh USIM and Science Media Centre Malaysia baru-baru ini.

Hasil kajian yang dilakukan oleh sekumpulan penyelidik daripada USIM mendapati hanya 43% daripada responden kajian mempunyai pengetahuan asas yang baik tentang vaksin Covid-19.

Kajian itu bertujuan untuk mengetahui sejauh mana tahap penerimaan dan pemahaman rakyat Malaysia tentang vaksin.

Daripada 1,406 responden itu, didapati sebanyak 65% responden setuju untuk mengambil vaksin, manakala sebanyak 33% responden adalah sebaliknya.

Tujuan webinar itu diadakan adalah untuk menjawab pertanyaan-pertanyaan tentang vaksin Covid-19 selain merungkai mitos dan fakta palsu berkenaan dengan vaksin.

Pelbagai persoalan yang telah dijawab pada webinar berkenaan termasuk faktor penghasilan vaksin yang begitu singkat, status halal vaksin dan kesan sampingannya, selain merungkai salah fakta tentang teknologi ‘messenger RNA’ (mRNA) dan sebagainya.

Untuk mengetahui info lebih lanjut, boleh ikuti rakaman penuh webinar di https://youtu.be/lR94UJj_47Q – MalaysiaGazette