Sebahagian dadah yang dirampas dalam milikan suspek.

SEBERANG PERAI – Polis berjaya menumpaskan satu aktiviti pengedaran dadah jenis ketamin dan eramin 5 susulan penahanan seorang lelaki di kawasan Butterworth semalam.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, hasil pemeriksaan ke atas suspek berusia 23 tahun itu membawa kepada penemuan 500 biji pil eramin 5 dan sembilan paket dadah jenis ketamin.

“Hasil siasatan mendapati dadah tersebut untuk pasaran tempatan dan secara keseluruhan nilai rampasan berjumlah RM9,300.

“Ujian saringan air kencing mendapati suspek positif dadah. Selain itu, kita juga menyita sebuah motosikal jenis Honda EX5 milik suspek,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambah beliau, suspek kini direman bagi membantu siasatan dan kes disiasat mengikut 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, Seksyen 39 A (1) serta Seksyen 15(1)(a) akta yang sama.- MalaysiaGazette