Lim Guan Eng

KUALA LUMPUR – Jika diberi peluang untuk memerintah sekali lagi, DAP tetap dengan pendiriannya tidak akan melaksanakan sistem Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) yang telah dihapuskan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada Mei 2018.

Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng menegaskan, pelaksanaan GST menyebabkan berlaku kenaikan harga barang dan antara faktor menyusahkan kehidupan rakyat.

“Kita hapuskan GST kerana ia terkandung dalam Manifesto PH. Bila kita menang, jadi kerajaan, kita laksanakan janji dan kehidupan rakyat agak baik selepas itu.

“Apabila tidak ada GST, hasil kerajaan akan hilang, tetapi kita cari sumber lain sebagai ganti, iaitu perkenalkan sistem tender terbuka. Kaedah ini dapat elakkan rasuah dan berjaya selamatkan puluhan bilion ringgit dari ketirisan.

“Itu yang kita ganti hasil dari kehilangan duit akibat hapuskan GST dan PH berjaya memacu pertumbuhan ekonomi dengan rancak, sehingga berlaku pertukaran kerajaan oleh Perikatan Nasional (PN),” katanya pada program diskusi “Masa Depan Malaysia: Ke Mana Kita” anjuran Majlis Profesor Negara (MPN), hari ini.

Menurut Guan Eng, apabila PN mengambil alih kerajaan hampir setahun lalu, ekonomi negara merudum dengan teruk dan rakyat kehilangan kerja akibat pandemik Covid-19, yang gagal ditangani Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Ditanya bab rasuah, beliau yang merupakan Ahli Parlimen Bagan berkata, pindaan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dilakukan di zaman kerajaan PH pada 2018 hingga 2019.

Katanya, kerajaan mempunyai kuasa untuk melaksanakan undang-undang baharu itu ke atas pegawai awam dan swasta serta antara pemberi dan penerima, tetapi beliau tidak tahu sama ada ia dikuatkuasakan atau tidak.

“Memang kuasa sudah ada, pindaan sudah dibuat kepada SPRM untuk membolehkan undang-undang kini (selepas pindaan) dilaksanakan ke atas pegawai awam dan swasta. Masalahnya adakah ia sudah dikuatkuasakan? Ini saya serah kepada pihak berkuasa.

“Saya masih ingat satu kes melibatkan seorang pemimpin kanan sebuah parti politik. Dalam kes ini, pemberi rasuah dikenakan hukuman kerana memberi habuan, tetapi pemimpin yang menerima, tidak dikenakan apa-apa hukuman.

“Kalau bawah pentadbiran PH, penguatkuasaan undang-undang ini kita lihat dari dua sudut, iaitu yang memberi dan yang menerima. Kedua-duanya salah,” katanya.

Beliau turut mendakwa, bawah kerajaan PN, menteri dan timbalan menteri bebas melakukan salah laku seperti menulis surat mencadangkan anak mereka menjadi Ahli Lembaga Pengarah anak syarikat kerajaan.

Ujarnya, ini merupakan contoh yang tidak baik kepada penjawat awam yang akan turut menjadi ikutan melakukan rasuah dan perbuatan sedemikian.

“Kita tahu perbuatan ini salah, tetapi tidak ada tindakan diambil. Ini satu-satunya contoh tidak baik kepada penjawat awam, apabila mereka berkata, kalau atas (menteri dan timbalan menteri) boleh buat kenapa bawah (mereka) tidak boleh buat. Ini tidak baik kerana sudah menjadi ikutan,” katanya. – MalaysiaGazette

2 Komen

  1. Mmg la ahpek tak mau GST loh.. kawan kawan bisnes tak boleh lari cukai maaa. Semua kos pun kena legister loh. Harga balang mahal bukan sebab gst maa tp sbb bisnes kilang semua talak buang itu SST 6% dahulu loh sebelum caj itu GST.

  2. Niaga tak nipu tu bukan niaga tu sedekah, GST pun mintak byr cash jgn pakai card mcm2 cara tak nk dikesan.. kaut untung juta2 billion2 lawan kerajaan lawan org kasi tok nenek dia melutut kat negara ni.. rasa nk maki je geng babun siang mlm ni…

Comments are closed.