Tan Sri Mohd Isa Abdul Samad keluar dari Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur setelah selesai membayar wang jaminan tambahan RM700,000 yang diperintahkan Mahkamah Tinggi atas pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak telah selesai semalam. Foto HAFIZ SOHAIMI, 04 FEBRUARI 2021.

IKUALA LUMPUR – Bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Mohd. Isa Samad baharu sahaja selesai membayar baki wang jaminan tambahan sebanyak RM700,000  di Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur sekitar 1.55 petang tadi. 

Mohd Isa yang juga bekas Menteri Besar Negeri Sembilan lebih dua dekad itu tiba sekitar jam 10.36 pagi bersama-sama isterinya, Puan Sri Bibi Sharliza Mohd Khalid kelihatan tenang dan sesekali tersenyum menyapa orang sekeliling.

Bibi Sharliza merupakan penjamin Mohd Isa juga kelihatan tenang.

Malah Mohd Isa sempat berseloroh dan menyergah beberapa pengamal media yang cuba mengambil gambar beliau supaya menjaga penjarakkan sosial masing-masing.

“Jaga jarak, patuh SOP kalau tidak kena bayar RM1,000 pula. Jaga jarak,” katanya tersenyum.

Semalam, Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara berjumlah 54 tahun dan denda RM15.45 juta terhadap Mohd Isa selepas didapati bersalah atas sembilan pertuduhan rasuah RM3 juta berkaitan pembelian Merdeka Palace Hotel & Suites (MPHS) di Kuching, Sarawak.

Bagaimanapun, Mohd Isa hanya perlu menjalani hukuman penjara selama enam tahun setelah Mohd Nazlan memerintahkan kesemua hukuman penjara itu berjalan serentak.

Mohd Nazlan kemudian membenarkan permohonan pembelaan untuk menangguhkan hukuman itu sehingga kes tersebut dibawa ke Mahkamah Rayuan kelak.

Mohd. Isa, 72, berdepan sembilan pertuduhan menerima rasuah berjumlah RM3,090,000 daripada Ahli Lembaga Gegasan Abadi Properties Sdn. Bhd. Ikhwan Zaidel menerusi Muhammad Zahid Md Arip, bekas pegawai khas politik Mohd. Isa, sebagai tanda terima kasih bagi membantu meluluskan pembelian hotel oleh FICSB pada RM160 juta.

Semua kesalahan itu didakwa dilakukan di Tingkat 49, Menara Felda, Platinum Park, No. 11, Persiaran KLCC di sini antara 21 Julai 2014 hingga 11 Disember 2015.

Setiap pertuduhan itu didakwa mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda jumlah atau nilai suapan atau RM10,000 mengikut yang mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Dalam pada itu, peguam yang mewakili Mohd Isa Samad, Siti Sarah Khalil ketika ditemui dilobi mahkamah berkata pihaknya telah memfailkan rayuan di Mahkamah Tinggi jam 11 pagi tadi. -MalaysiaGazette