Berita palsu yang disebarkan di media sosial mengenai wabak coronavirus di GM Klang. Gambar hiasan
DI dalam dunia yang tanpa sempadan ini, akibat teknologi yang berkembang pesat, maklumat atau sesuatu perkara itu dapat tersebar dengan sangat pantas. Walau bagaimanapun, sebagai
orang Islam yang mempunyai prinsip dan keimanan di dalam hati perlulah mempunyai sifat berhati hati dan berwaspada dalam menerima segala maklumat yang didapati samaada isu itu
sahih atau pun tidak.
Tidak dinafikan bahawa untuk membuat kebaikan itu mudah dan untuk membuat kejahatan itu juga mudah dengan menggunakan teknologi yang pesat kini. Kalau dahulu kita terpaksa melaburkan wang yang banyak untuk membuat iklan dalam menjual sesuatu produk. Kita juga perlu menjadi pembaca berita atau menjadi orang yang ternama untuk menjadi orang yang terkenal. Tetapi kini, kita hanya perlu ada akaun di media sosial dan internet
untuk membuat iklan di mana sahaja diserata dunia tidak kira masa malam ataupun siang.
Kita hanya perlu menjadi kreatif dan inovatif untuk mencari seramai pengikut dalam media social bagi mencapai matlamat yang dikehendaki sehingga ada yang melanggar etika etika
dalam berkomunikasi. Inilah dinamakan dunia tanpa sempadan dimana manusia bebas buat apa sahaja tanpa dihalang. Walaubagaimanapun, kita perlu ingat bahawa apa yang dilakukan
pasti ada sempadan dan tatacara yang betul supaya tidak melanggar hukum syarak yang ditetapkan oleh Allah SWT.
Kita sebagai netizen atau masyarakat awam perlu bijak menapis apa jua maklumat yang didapati atau dikongsi di dalam media sosial. Jika maklumat yang diperolehi tidak mendatangkan faedah atau membuat fitnah dan mendatangkan lebih banyak keburukan, lebih baik ditinggalkan. Tetapi jika maklumat yang diterima memberi manfaat dan kebaikan serta motivasi kepada seseorang, maka maklumat tersebut boleh dikongsi dengan niat moga
masyarakat hidup dalam harmoni.
Seperti dalam Surah al-Hujurat: 6 Allah berfirman
Maksudnya: Wahai orang-orang yang beriman! Jika datang kepada kamu seorang fasik membawa sesuatu berita, maka selidikilah (untuk menentukan) kebenarannya, supaya kamu
tidak menimpakan sesuatu kaum dengan perkara yang tidak diingini – dengan sebab kejahilan kamu (mengenainya) – sehingga menjadikan kamu menyesali apa yang kamu telah
lakukan.
Yang dimaksudkan dengan tabayyun (selidik) dalam ayat ini adalah memeriksa dengan teliti, berhati hati dan tidak tergesa gesa serta melihat dengan keilmuan yang dalam terhadap
sesuatu peristiwa dan khabar yang datang sehingga menjadi jelas dan terang baginya berita itu benar. Dan janganlah disebarkan jika lebih mendatangkan keburukan daripada kebaikan.
Di negara kita, Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bertindak sebagai badan yang memantau penyebaran maklumat palsu di laman media sosial. SKMM sering memperingatkan masyarakat supaya mengelakkan penyebaran perkara yang tidak benar terutama yang menyentuh institusi diraja, agama dan sensitiviti kaum (3R-royalty, religion and race). Menurut SKMM, ‘sebarang perkongsian kandungan yang bersifat
palsu, jelik dan mengancam adalah suatu kesalahan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia (AKM) 1998’. Tindakan tegas SKMM dilihat banyak membendung dari
penyebaran berita palsu dari terus berlaku.
Sehingga 11 November 2020, SKMM telah dilaporkan telah mengambil tindakan tegas dengan memfailkan 48 pertuduhan salahguna media sosial di mahkamah, bermula dari Januari sehingga September 2020. Kesalahan tertinggi merupakan salahlaku ketika menggunakan aplikasi Facebook dan Twitter dengan 14 pertuduhan masing-masing diikuti oleh WhatsApp dengan 13 pertuduhan diikuti oleh Instagram dan blog dengan masing-masing 1 pertuduhan. Ini menunjukkan ketegasan pihak SKMM setelah menerima aduan dari pihak masyarakat bagi memastikan keharmonian dan keamanan negara.
Bagaimanakah cara untuk kita menilai sama ada perkara yang disebarkan adalah benar atau palsu? Pertama, semak kesahihan maklumat tersebut, samada maklumat tersebut diperolehi dari sumber yang boleh dipercayai atau pun tidak. Sebagai contoh, sumber yang boleh dipercayai adalah dari badan kerajaan atau pihak berkuasa di dalam sesuatu bidang.
Kedua, semak samada berita tersebut baru berlaku atau tidak. Ini harus dilakukan bagi memastikan kesahihan berita dan bukannya berita lama yang kembali tular. Ketiga, kita boleh menghubungi mereka yang ditularkan sekiranya terdapat emel atau nombor telefon yang disertakan. Keempat, adakah berita yang ditularkan mempunyai sumber rujukan yang sahih?
Sumber rujukan yang sahih perlu bersandarkan kepada kajian-kajian penyelidikan yang telah diterbitkan di jurnal berwasit.
Sesungguhnya, di zaman media sosial yang serba pantas ini, semua orang mahu menjadi yang pertama dalam mengetahui mengenai sesuatu perkara. Namun, jika tidak pasti,
jangan sebar!
Dr Aspalilah Alias,
Pensyarah Anatomi
Fakulti Pergigian Universiti Sains Islam Malaysia.
Prof Madya Dr Nazefah Abdul Hamid
Timbalan Dekan (Penyelidikan dan Inovasi)
Fakulti Perubatan dan Kesihatan
Universiti Sains Islam Malaysia.