Gambar Hiasan

FRANKFURT – Jerman telah berjaya menghasilkan vaksin keluaran Russia, Sputnik V sebagai usaha dan harapan untuk mempercepatkan vaksinisasi bagi negara Kesatuan Eropah (EU).

Berita yang tidak dijangka ini telah membawa satu kejayaan bagi Presiden Russia, Vladimir Putin, sekali gus menepis keraguan banyak negara yang sebelum ini mempersoal keberkesanannya.

Jurnal perubatan terkemuka, The Lancet semalam mengatakan, keberkesanan vaksin berkenaan adalah pada kadar 91.6 peratus bagi kes Covid-19 yang bergejala.

Sementara itu, Kanselor Jerman, Angela Merkel menyatakan  setiap vaksin yang bakal diterima di EU telah dipersetujui oleh Agensi Perubatan Eropah (EMA).

“Satu perbincangan bersama Putin telah dibuat pada bulan lalu mengenai cadangan Jerman untuk membantu pengeluaran vaksin yang dihasilkan oleh Russia.

“Jerman turut menawarkan bantuan Institut Paul Ehrlich untuk bersama-sama membantu proses permohonan kepada EMA,” katanya.

Sebelum ini, tiga jenis vaksin telah dipersetujui untuk dibekalkan ke negara EU, iaitu Pfizer-BioNTech, Moderna dan AstraZeneca, namun berlaku kelewatan daripada aspek penghantaran, pengeluaran dan turut terkait dengan birokrasi politik. -MalaysiaGazette