Kumpulan Proud Boys berarak semasa tunjuk perasaan pada 12 Disember 2020, di Washington. foto agensi

OTTAWA – Kanada menyifatkan gerakan Proud Boys sebagai ancaman serius yang kian berkembang bersama dengan 12 kumpulan lain.

Proud Boys dianggap sebagai ‘Kumpulan pengganas yang bermotivasikan ideologi’ bersama tiga lagi gerakan iaitu Atomwaffen Division, the Base dan Russian Imperial Movement.

Menteri Keselamatan Awam, Bill Blair berkata, kumpulan neo-Nazi itu turut terbabit dalam keganasan politik dan anggotanya yang menyokong ideologi benci perempuan, Islamofobia, antiSemitik, antiimigran, dan ketuanan kulit putih.

“Kewujudan kumpulan berkenaan yang bergerak secara aktif di beberapa buah negara termasuk Kanada dan Amerika Syarikat (AS) telah mengancam keselamatan rakyat negara itu,” katanya dalam satu sidang akhbar berita.

Menurut Bill, kumpulan yang diasaskan pada 2016 itu merupakan dalang utama dalam rusuhan di bangunan Capitol, Amerika Syarikat yang turut mengakibatkan kematian orang awam, pada 6 Januari lalu.

“Terdapat banyak bukti menunjukkan kumpulan ini terbabit dalam pelbagai insiden keganasan.

“Malah telah dimaklumkan kepada pihak berkuasa agar memantau pergerakan kumpulan itu sejak tahun 2018 kerana beberapa bulan kebelakangan ini kami melihat aktiviti keganasan bagi kumpulan ini semakin meningkat.

“Kami juga telah bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan undang-undang dan rakan keselamatan negara untuk memantau dan mengumpulkan bukti aktiviti kumpulan tersebut untuk mendukung keputusan yang dibuat berkenaan,” ujarnya.

Kanada mula menyenaraikan pengharaman kumpulan pengganas selepas tragedi serangan 11 September, 2001 di Amerika Syarikat. -MalaysiaGazette