Gambar hiasan

MELAKA – Kegiatan mengedar mercun yang bersembunyi di sebalik misi menghantar bantuan banjir bagi mengaburi pihak berkuasa tumpas selepas polis membuat empat serbuan di sekitar Melaka Tengah dan Alor Gajah sejak awal minggu ini.

Ketua Polis Melaka, Datuk Abdul Majid Mohd Ali berkata, polis menahan lapan individu termasuk seorang wanita warga Thailand berumur antara 25 dan 39 tahun, dan merampas mercun bernilai RM510,000 dalam serbuan pada hari Isnin dan Selasa lepas.

Katanya, suspek bertindak menampal poster misi bantuan banjir di bahagian badan lori ketika menghantar mercun kepada pelanggan, selain turut menunjukkan surat majikan ketika melepasi sekatan-sekatan jalan raya terutama di sempadan negeri berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Beliau berkata, dalam serbuan antara pukul 2.30 petang dan 7.30 malam Isnin lepas di sekitar di Batu Berendam dan Ayer Keroh, polis menahan lima lelaki, yang kemudiannya membawa kepada satu serbuan keesokkan harinya di sebuah premis yang dijadikan stor simpanan bekalan mercun.

“Bekalan mercun pelbagai jenis dan sebahagian barangan terlarang ditemukan di dalam sebuah lori, disorok di dalam kampit beras, dianggarkan semuanya bernilai RM510,000. Dalam serbuan itu kita juga menahan dua lelaki berusia 34 dan 39 tahun serta seorang wanita berusia 29 tahun yang juga isteri kepada salah seorang suspek,” katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka di sini, hari ini.

Abdul Majid berkata, siasatan awal mendapati kumpulan ini telah aktif sejak dua bulan lepas dan kesemua bekalan dibawa masuk dari negeri jiran untuk pasaran tempatan sempena sambutan Tahun Baharu Cina.

“Mereka juga mempromosi penjualan mercun melalui aplikasi WhatsApp kepada pelanggan secara rambang dengan menyertakan senarai jenis-jenis mercun melalui katalog,” katanya.

Beliau berkata, kesemua suspek direman selama empat hari bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 yang jika sabit kesalahan boleh dipenjara tujuh tahun dan denda RM10,000 atau kedua-duanya.

Dalam perkembangan lain, Abdul Majid berkata, polis sedang memburu dua lelaki berusia 21 dan 27 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian pecah masuk sebuah kilang di Taman Teknologi Cheng kira-kira pukul 4.00 pagi pada 19 Januari lepas.

“Antara barangan yang hilang adalah bahan mentah yang digunakan untuk menghasilkan plastik dan kerugian dianggarkan bernilai RM60,000. Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kedua-dua suspek supaya menghubungi pegawai penyiasat Sjn Mohd Hanafi Md Zam dengan menelefon 019-3546812,” katanya. – Bernama