Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengadap Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Istana Negara.

KUALA LUMPUR – Tan Sri Muhyiddin Yassin mengingatkan semua pihak agar berhenti melemparkan tohmahan yang tidak berasas terhadap keprihatinan Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dalam memperkenankan Proklamasi Darurat.

Perdana Menteri menjelaskan, kerajaan telah mendapat perkenan selepas baginda berpuas hati bahawa penularan wabak Covid-19 di negara ini berada pada tahap kritikal dan perlunya pelaksanaan darurat selaras dengan keputusan Jemaah Menteri.

Kata beliau, Proklamasi Darurat yang dimasyhurkan oleh Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah itu bertujuan untuk memberikan bidang kuasa tertentu kepada Kerajaan bagi mengurus pandemik itu dengan lebih cepat, cekap dan berkesan.

“Tindakan-tindakan serta merta sedang diambil oleh Kerajaan di bawah peruntukan-peruntukan Ordinan Darurat yang sedang berkuatkuasa. Proklamasi Darurat oleh Yang di-Pertuan Agong tidak mempunyai tujuan lain selain daripada membendung penularan Covid-19 dengan lebih berkesan dan melindungi nyawa rakyat.

“Walaupun ada segelintir pihak yang cuba mencabar Proklamasi Darurat di mahkamah, saya percaya bahawa Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sebagai Ketua Negara amat memahami dan menghormati sistem dan proses perundangan negara,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam perutusan khas mengenai pelaksanaan Proklamasi Darurat dan Pemasyhuran Ordinan Daruart dalam menguruskan pandemik Covid-19 yang disiarkan secara langsung di stesen televisyen dan media sosial di sini hari ini.

Muhyiddin menegaskan, sebagai Ketua Kerajaan, beliau juga sentiasa menghormati sistem dan proses perundangan negara yang berpaksikan sistem Raja Berperlembagaan dan Demokrasi Berparlimen.

“Saya ingin ulangi komitmen saya bahawa saya akan menasihati Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen sebaik sahaja penularan wabak Covid-19 telah reda dan Pilihan Raya Umum adalah selamat untuk diadakan.

“Sementara itu, saya menyeru rakan-rakan saya baik dari pihak kerajaan mahu pun pembangkang, marilah kita bersama-sama berganding bahu dan menggembeleng usaha untuk memerangi wabak Covid-19 tanpa mengira perbezaan fahaman politik,” katanya. – MalaysiaGazette