Hannah Yeoh

KUALA LUMPUR – ”Mana ada Ahli Parlimen pembangkang dapat RM100,000? Saya Ahli Parlimen Segambut satu sen pun tak dapat tahun ini,” kata Hannah Yeoh.

Menurutnya, selepas Langkah Sheraton, beliau tidak lagi mempunyai peruntukan yang sebelum ini diberikan oleh Kerajaan Persekutuan kepada setiap Ahli Parlimen.

”Sebelum ini, saya menerima peruntukan sebanyak RM300,000 setahun untuk pusat khidmat saya termasuk gaji kakitangan, sewa pejabat, pembayaran bil utiliti dan lain-lain perbelanjaan. Semua ini tidak lagi kami perolehi bermula Januari 2021,” katanya dalam hantaran di Facebook.

Beliau mengulas kenyataan Presiden UMNO bahawa lima Ahli Parlimen parti itu hanya menerima RM100,000 tahun ini berbanding yang lain sebanyak RM3.7 juta.

Menurut Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi, jumlah yang diterimanya bersama empat lagi Ahli Parlimen UMNO itu sama seperti yang diterima Ahli Parlimen pembangkang.

Yeoh mendakwa, Parlimen Segambut menerima peruntukan RM3.5 juta sebagai geran kepada mana-mana pertubuhan dan program yang dijalankan serta untuk tujuan projek infrastruktur seperti di sekolah dan taman rekreasi.

Tetapi peruntukan ini disalurkan oleh Kerajaan Perikatan Nasional (PN) melalui ahli politik PN yang tidak dipilih oleh rakyat di Segambut.

”Kami tidak mempunyai sebarang maklumat bagaimana peruntukan ini dibelanjakan sejak Langkah Sheraton. Tidak ada sesiapa pun yang tahu.

”Saya sentiasa memaklumkan jumlah peruntukan yang dibelanjakan dalam laman sesawang saya. Ini telah menjadi amalan sejak saya menjadi ADUN di Subang Jaya lagi. Anda boleh melayari laman sesawang ini untuk melihatnya sendiri http://www.hannahyeoh.com/?s=Allocation,” ujarnya.

Tambahnya, tidak seperti Ahli-Ahli Parlimen Harapan (PH) di negeri-negeri seperti Selangor dan Pulau Pinang, mereka menerima sedikit bantuan kewangan daripada Kerajaan Negeri.

Namun Ahli Parlimen pembangkang di Kuala Lumpur tidak mempunyai peruntukan tersebut.

”Saya juga tidak mempunyai duit poket berjuta-juta untuk dibelanjakan (tidak seperti ahli politik yang rasuah).

”Saya tidak mampu untuk menyanyi ataupun menari (atau membotakkan kepala saya 🤣) untuk mengumpul dana tetapi saya bekerja keras demi penduduk di Segambut dan saya komited untuk bersuara mewakili anda,” katanya pasukan kerjanya menghadapi cabaran besar untuk mendapatkan RM300,000 sepanjang tahun ini supaya dapat terus memberikan perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

Tegasnya, walaupun tidak mendapat peruntukan tetapi beliau berikrar akan terus menuntut ketelusan dari mana-mana ahli politik PN yang membelanjakan peruntukan di Parlimen Segambut. – MalaysiaGazette

5 Ahli Parlimen UMNO hanya diberi peruntukan RM100,000 setahun – Zahid