Kamarudin Jaffar (kiri) melihat pelan dan diberikan taklimat oleh Pengarah Jabatan Kejuruteraan Awam dan Saliran DBKL, Mohamad Yasin Jamaludin hari ini.

KUALA  LUMPUR – Penduduk yang melalui Jalan Tasik Permaisuri 3 di Bandar Tun Razak di sini kini boleh menarik nafas lega apabila kerja-kerja menaiktaraf sistem saliran dan jalan di lokasi tersebut dijangka dimulakan pada 22 Februari ini.

Ahli Parlimen Bandar Tun Razak, Datuk Kamarudin Jaffar berkata, hasil perbincangan yang diadakan di antara pihak beliau dan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), persetujuan telah dicapai agar kerja-kerja menaiktaraf dapat dimulakan segera supaya keadaan banjir yang sering terjadi di lokasi berkenaan khususnya ketika hujan lebat dapat di atasi.

“Saya menerima banyak aduan daripada penduduk yang melalui jalan tersebut. Apabila hujan lebat, kawasan Jalan Tasik Permaisuri 3 akan ditenggelami air.

“Kenderaan tidak boleh melalui jalan tersebut dan terpaksa melalui jalan lain yang lebih jauh untuk pulang ke rumah.

“Ada juga kereta atau motosikal yang rosak dan tersangkut di tengah-tengah jalan yang banjir tersebut,” katanya yang membuat lawatan tinjauan ke tempat lokasi hari ini.

Kamarudin yang Timbalan Menteri Luar menambah, skop kerja utama yang akan dilaksanakan ialah menggantikan longkang lama di tepi jalan dengan menambah kapasiti longkang tersebut.

Jelas beliau, sebahagian Jalan Tasik Permaisuri 3 pula akan dinaiktaraf kerana aras jalan tersebut yang agak rendah.

“Saya berharap dengan kerja-kerja naiktaraf yang akan dimulakan pada 22 Februari ini, ianya akan memberi manfaat dan kemudahan kepada warga Bandar Tun Razak yang melalui jalan tersebut tanpa perlu bimbang apabila berlakunya hujan lebat.

“Kebajikan dan kemudahan infrastruktur di kawasan Parlimen Bandar Tun Razak menjadi keutamaan saya sejak dahulu lagi.

“Setiap kali pertemuan bersama DBKL sudah pasti saya akan mengutarakan pelbagai isu agar kemudahan awam dapat disediakan dengan baik,” katanya.

Sebelum ini, hujan lebat yang sering melanda ibu negara kira-kira dua jam menyebabkan kawasan Jalan Tasik Permaisuri 3 mengalami banjir kilat.

Banjir itu menyebabkan beberapa buah kenderaan akan terkandas dan terpaksa ditolak. – MalaysiaGazette