Zainul Rijal Abu Bakar

KUALA LUMPUR – Bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas diselar kerana didakwa menyelewengkan fakta berkenaan insiden kematian Allahyarham Muhammad Adib Mohd Kassim.

Penyelewengan fakta itu ekoran buku kontroversi Tommy bertajuk My Story: Justice in the Wilderness.

Gabungan Pertubuhan Masyarakat Sivil Malaysia bagi Proses Semakan Berkala Sejagat (MACSA) dan Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM) memandang serius mengenai pendedahan Tommy yang didakwa terpesong daripada fakta sebenar seperti diputuskan oleh Mahkamah Koroner Shah Alam pada 27 September 2019.

Menurut kenyataan bersama MACSA yang diwakili Lukman Sheriff Alias dan Prof Dr Rafidah Hanim Mokhtar manakala PPMM pula diwakili presidennya, Datuk Zainul Rijal Abu Bakar dalam buku itu, Tommy menyatakan kecederaan Adib adalah diakibatkan pengunduran kenderaan bomba dan kenderaan yang dinaiki Adib dan Adib dilihat cuba memasuki kenderaannya dan ketika itulah beliau dihimpit maka ia tidak disengajakan.

Tommy juga mendakwa dapatan koroner Rofiah Mohamad adalah luar biasa kerana polis telah memaklumkan kepadanya bahawa kemungkinan berlaku perbuatan khianat telah diketepikan sebagai penyebab kematian Muhammad Adib.

Tommy juga mendakwa merasa terkejut apabila mengetahui bahawa peguam, Syazlin Mansor juga mewakili keluarga Muhammad Adib untuk siasatan mengenai kematiannya sedangkan Syazlin juga mewakili Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan serta Jabatan Bomba dan Penyelamat.

Oleh itu, Tommy menghubungi Menteri Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin untuk meminta agar pelantikan Syazlin sebagai wakil dibatalkan.

Justeru menurut MACSA dan PPMM, fakta dan realiti sebenar seperti yang telah diperakui dalam dapatan Mahkamah Koroner Shah Alam, termasuklah Muhammad Adib berada di dalam kenderaan van bomba Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) yang berada di belakang jentera pemadam api.

“Daripada keterangan dan bukti rakaman video, Muhammad Adib berada di dalam van bomba semasa van ini dan jentera pemadam api diserang oleh perusuh dan van ini sedang dalam keadaan mengundur dan Muhammad Adib yang berada di tempat duduk penumpang hadapan telah membantu pemandu van dengan melihat ke cermin sisi. Pada ketika inilah Muhammad Adib telah ditarik ke luar van oleh perusuh;

“Pada masa Muhammad Adib ditarik keluar, lebih daripada seorang perusuh telah menendang kuat ke arah pintu van sehingga menyebabkan tulang rusuk Muhammad Adib rosak, perusuh kemudian mencampakkan Muhammad Adib ke arah belakang van yang sedeng mengundur, yakni tepi pintu penumpang sehingga menyebabkan tulang belakangnya patah di beberapa tempat.

“Sehari atau dua sebelum kematian Muhammad Adib, beliau mampu bercakap dengan baik dan telah mengaku kepada petugas di unit rawatan rapi yang menjaganya bahawa beliau telah ditarik keluar dan dibelasah. Perkara yang serupa turut dimaklumkan kepada ketua balai tempat Muhammad Adib bertugas semasa beliau melawat Muhammad Adib pada hari tersebut.

“Tiada sebab kenapa arwah Adib hendak menipu,” kata mereka dalam satu kenyataan bersama hari ini.

Selain itu, menurut kenyataan yang sama, Tommy selaku Peguam Negara juga maklum tentang perlantikan Syazlin sejak hari pertama perlantikan lagi. Beliau tidak mengambil sebarang tindakan sehinggalah tindakan Syazlin bertentangan dengan pendirian Tan Sri Tommy Thomas semasa inkues.

“Penulisan Tan Sri Tommy Thomas dalam buku autobiografinya itu memberikan impak yang sangat menyeleweng kerana membenarkan kepalsuan berleluasa tanpa menghargai pengorbanan nyawa oleh seorang adiwira negara.

“MACSA dan PPMM khuatir, kegagalan Tan Sri Tommy Thomas untuk memetik fakta sebenar akan merendah-rendahkan nilai dan harga nyawa barisan hadapan negara yang bermatian demi mempertahankan kedaulatan dan keselamatan negara,” katanya.

Malah, rentetan peristiwa yang mengakibatkan kematian Muhammad Adib adalah sejarah hitam dalam keharmonian antara agama dan kaum di Malaysia.

Realitinya, kata kenyataan itu, Muhammad Adib terkorban ketika menjalan tugas sebagai ahli Unit EMRS, Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya dalam insiden rusuhan kaum di Kuil Sri Mariamman.

“Kematian beliau terpalit dengan isu perkauman apabila ada pihak yang menutup dan memesongkan fakta sebenar sehingga timbul keperluan untuk mengadakan inkuiri menyiasat punca kematiannya. Proses ini yang berjalan dengan penuh tertib akan menjadi tidak bernilai jika Tommy dibenarkan untuk terus mengeluarkan kenyataan menyeleweng dalam memoirnya,” ujar kenyataan itu lagi.

Tommy sebagai Peguam Negara sepatutnya mengetahui maklumat dari pihak polis tidak konklusif berbanding dgn penemuan fakta oleh koroner yang telah melalui proses undang undang dan dibuktikan.

“Adalah tidak munasabah dan tepat beliau bergantung semata-mata ke atas maklumat polis,” kata kenyataan yang sama.

Justeru, MACSA dan PPMM mendesak kerajaan untuk membuka semula kertas siasatan terhadap perusuh yang telah menyebabkan kematian Muhammad Adib.

Menurutnya, di bawah Artikel 3, Deklarasi Sejagat Hak Asasi Manusia 1948, setiap orang mempunyai hak untuk hidup dengan bebas dan selamat. – MalaysiaGazette

1 Komen

  1. Dakwa atau saman. Jgn cakap je. Ini keling…Mahathir yg lantik….hindu yg tukar kristian, peguam Chin Peng dan Guan Eng…ape nak heran.

Comments are closed.